FOTO pada 5 Februari menunjukkan asap tebal di Khan Younis, susulan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
FOTO pada 5 Februari menunjukkan asap tebal di Khan Younis, susulan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
AFP

Paris: Menteri Luar Perancis Stephane Sejourne dalam kenyataannya semalam, menuntut keganasan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki dihentikan.

Gesaan itu dibuat ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

"Dalam apa jua keadaan tidak boleh ada pemindahan paksa rakyat Palestin, tidak keluar dari Gaza mahupun keluar dari Tebing Barat," kata Sejourne ketika mengadakan lawatan Timur Tengah yang bertujuan untuk mengusahakan gencatan senjata antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas di Gaza.

Menteri Perancis itu mengecam retorik anti-Palestin, juga seruan untuk melakukan jenayah perang oleh pegawai Israel, selepas beberapa sekutu Netanyahu menyokong penempatan semula Yahudi di Semenanjung Gaza selepas perang.

Sejourne juga menyeru sokongan terhadap pihak berkuasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat.

"Masa depan Semenanjung Gaza tidak dapat dipisahkan daripada masa depan Tebing Barat, kita mesti bersedia untuk masa depan ini dengan menyokong pihak berkuasa Palestin," kata Sejourne.

"Saya ulangi, Gaza adalah tanah Palestin," kata diplomat terkemuka Perancis itu dalam lawatan pertamanya ke rantau itu sejak memegang jawatan itu pada Januari lalu.

Pejuang Hamas pada 2007 menggulingkan tentera Gaza yang setia kepada pihak berkuasa Palestin. Pihak berkuasa itu mentadbir wilayah autonomi terhad di Tebing Barat.

Israel pada 2005 mengundurkan tentera dan peneroka dari Gaza. Tetapi, kira-kira 490,000 orang Israel yang tinggal dalam kalangan kira-kira tiga juta penduduk Palestin di penempatan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa, di Tebing Barat.

Menurut kementerian kesihatan Palestin di Ramallah, sekurang-kurangnya 381 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera dan peneroka Israel di Tebing Barat, sejak tercetusnya perang pada 7 Oktober laluz

Kumpulan hak asasi Israel, Yesh Din, menggelar 2023 sebagai "tahun paling ganas " dalam rekod serangan peneroka.

Sejourne menggesa "penyelesaian politik yang komprehensif, dengan dua negara hidup dalam keadaan aman bersebelahan selain menggesa proses damai diteruskan tanpa berlengah.

Menurut rekod, Israel dan Palestin tidak mengadakan rundingan damai substantif sejak lebih sedekad.

"Tanpa penyelesaian politik, tidak akan ada keamanan yang adil dan berkekalan di Timur Tengah," kata Sejourne.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 9:43 AM