ISRAEL melakukan kerja memperluaskan penempatan Avni Hefetz di timur laut bandar Tulkarm, Tebing Barat yang dirakam pada 12 Ogos 2020.  FOTO AFP.
ISRAEL melakukan kerja memperluaskan penempatan Avni Hefetz di timur laut bandar Tulkarm, Tebing Barat yang dirakam pada 12 Ogos 2020. FOTO AFP.
AFP

Geneva: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kempen Israel dalam memperluaskan penempatan rejim itu di Tebing Barat adalah satu jenayah perang dan berisiko menghapuskan peluang pembangunan Palestin yang berdaya maju.

Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk berkata, terdapat pembangunan drastik penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki selepas tentera negara itu melancarkan perang tanpa henti di Gaza.

Katanya, langkah mewujudkan dan memperluaskan penempatan itu menyamai pemindahan Israel terhadap penduduk awamnya sendiri ke wilayah yang diduduki.

"Pemindahan sebegitu menyamai jenayah perang yang mungkin membabitkan tanggungjawab jenayah individu yang terbabit.

"Dilaporkan Israel merancang untuk membina 3,476 lagi rumah peneroka di Tebing Barat jajahan Maale Adumim, Efrat dan Kedar," katanya dalam laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Jumaat.

Turk berkata, dalam tempoh laporan iaitu 1 November 2022 hingga 31 Oktober 2023, kira-kira 24,300 unit rumah ditambah kepada penempatan Israel sedia ada di Tebing Barat.

"Itu menandakan jumlah terbesar dalam rekod sejak pemantauan bermula pada 2017. Ia termasuk hampir 9,700 unit di timur Baitulmaqdis," kata Pejabat Hak Asasi Manusia PBB.

Laporan Turk mendapati, dasar kerajaan Israel nampak sejajar dengan matlamat pergerakan peneroka Israel untuk meluaskan kawalan jangka panjang ke atas Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis timur dan untuk terus mengintegrasikan wilayah yang diduduki ke dalam negara Israel.

Dalam masa sama katanya, rakyat Palestin dipaksa meninggalkan rumah mereka oleh peneroka dan berdepan keganasan.

Terdahulu, Sepanyol mengulangi sentimen itu dengan Kementerian Luarnya memaklumkan, negara mereka mengutuk sekeras-kerasnya penempatan dirancang yang menggugat usaha untuk mencapai penyelesaian dua negara dan menjadi penghalang kepada keamanan.

Kementerian Luar Perancis juga senada mengutuk sekeras-kerasnya rancangan penempatan dan menggesa kerajaan Israel untuk segera membatalkan keputusan itu.

Untuk rekod, Israel merampas Tebing Barat, timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza dalam perang Arab-Israel 1967.

Tindakan Israel itu haram di bawah undang-undang antarabangsa, namun Israel tetap membina puluhan penempatan di seluruh Tebing Barat dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Kawasan itu adalah rumah kepada lebih 490,000 warga Israel, tinggal di wilayah yang sama dengan kira-kira tiga juta rakyat Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 12:19 PM