BENJAMIN Netanyahu. FOTO AP
BENJAMIN Netanyahu. FOTO AP
AFP

Baitulmaqdis: Kemenangan dalam pilihan raya oleh veteran politik, Benjamin Netanyahu mungkin bakal mengubah sejarah Israel, tetapi bagi kebanyakan rakyat Palestin ia hanyalah perubahan jenama.

Perbezaan antara Netanyahu dan pemimpin yang kalah, Yair Lapid adalah seperti perbezaan 'antara Pepsi dan Coca Cola', kata Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh selepas keputusan pilihan raya itu disahkan.

Ketika menjawat jawatan Perdana Menteri yang singkat, Lapid menggunakan pendekatan yang lebih damai, meluluskan peningkatan sederhana dalam bilangan permit kerja Israel yang dikeluarkan kepada rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza yang disekat, dan menggunakan ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September untuk menyatakan sokongan kepada isu dua negara serta penyelesaian konflik Israel-Palestin.

"Sekurang-kurangnya, dengan tiadanya Lapid, kita boleh berhenti berpura-pura orang Israel berminat dengan keamanan," kata Ahmad Saadi, seorang peniaga gerai berusia 31 tahun selepas solat di bandar Ramallah, Tebing Barat.

Rakyat Gaza juga masih ingat perang tiga hari yang dilancarkan Lapid terhadap kumpulan Jihad Islam pada Ogos, di mana 49 rakyat Palestin mati, 17 daripadanya kanak-kanak.

"Saya takut Netanyahu dan pihak kanan akan membatalkan permit untuk pekerja dari Gaza," kata pekerja binaan Sohail Mohammed, 54, yang baru-baru ini berjaya mendapatkan satu daripada 17,000 permit kerja Israel yang disediakan di bawah Lapid.

"Saya baru mendapat permit yang memberi saya dan keluarga harapan untuk kehidupan yang lebih baik," tambahnya.

Bagi Mohammed al-Hindi, 27, dan menganggur, ia adalah "pengulangan membosankan bagi senario yang sama".

"Kesan kepada kami di Gaza tidak penting, kerana apa yang penting bagi mereka ialah keselamatan Israel," katanya kepada AFP.

Netanyahu kembali berkuasa apabila pengiraan undi terakhir dalam pilihan raya minggu ini memberikannya dan sekutu majoriti yang jelas di Parlimen.

Netanyahu, 73, membuat kemunculan semula selepas 14 bulan menjadi pembangkang.

Dia kekal dibicarakan berhubung dakwaan rasuah, tuduhan yang dinafikannya dengan prosiding kes itu bersambung di mahkamah, pada Isnin depan.

Keputusan rasmi yang diperakui akan dibentangkan pada Rabu kepada Presiden Israel Isaac Herzog, yang akan menugaskan Netanyahu untuk membentuk kerajaan.

Netanyahu, yang berkhidmat sebagai perdana menteri lebih lama daripada sesiapa pun dalam sejarah 74 Israel, kemudian akan mula berkongsi jawatan kabinet dengan rakan gabungannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 12:16 PM