GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Rom: Lelaki di Itali yang pernah didakwa melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak sebelum tertidur selama setahun dipercayai akibat masalah kesihatan yang pelik, akhirnya tersedar dan dihantar terus ke penjara.

Mirror UK melaporkan, berikutan mengalami sindrom yang pelik, pemuda berusia 28 itu tertidur pada hari penahanannya sehingga setahun.

Ajaibnya, dia sedar daripada tidur baru-baru ini, selepas setahun berhenti bertindak balas terhadap sebarang rangsangan luar.

Pada Julai 2021, lelaki itu ditahan di lapangan terbang di Fiumicino, Itali, selepas dipercayai melakukan serangan seksual terhadap individu bawah umur.

Bagaimanapun, tidak lama selepas ditahan, lelaki itu mengatakan fikirannya menjadi 'kosong', setiap kali dia cuba mengingati kejadian berkenaan.

Dia kemudian menyatakan mahu mengaku tidak bersalah sebelum berhenti makan dan minum, namun tidak lama kemudian, dia terus tertidur.

Selepas itu, dia berhenti bertindak balas terhadap sebarang bunyi atau pergerakan, dan terpaksa diberi makan melalui saluran tiub.

Meskipun begitu, lelaki berkenaan tetap dibawa masuk ke dalam bilik persidangan video di penjara Regina Coeli, di sini, bagi mengikuti setiap prosiding kesnya.

Bagaimanapun, dia tidak pernah bangun tidur atau menjawab soalan.

Hakim memutuskan lelaki itu masih boleh hadir ke mahkamah walaupun tidak sedarkan diri kerana mengesyaki dia mungkin berbohong mengenai keadaannya.

Ia kerana pakar perubatan memberitahu mahkamah, dua kali, bahawa defendan mengalami keadaan jarang jumpa dikenali sebagai simulasi dikaitkan dengan sindrom Ganser.

Ketika mahkamah menganggap tiada perkembangan pada keadaan tertuduh, lelaki itu tersedar di hospital pada 9 Disember, dan segera dihantar ke penjara.

Dia memberitahu gagal ingat apa yang berlaku sepanjang tidak sedarkan diri dengan fikirannya 'kosong' sejak penahanannya di lapangan terbang Itali.

Lelaki itu akan tampil di mahkamah apabila bicara kesnya bersambung pada bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 10:55 AM