Mohamed
Mohamed

Kaherah: Wartawan rangkaian televisyen Al Jazeera yang sedang menghadapi perbicaraan di Mesir memfailkan saman di mahkamah di Kanada menuntut pampasan AS$100 juta (RM361 juta) kerana mendakwa majikannya cuai sehingga menyebabkan dia ditahan penjara.

Mohamed Fahmy yang kini warga Kanada meringkuk lebih 400 hari di penjara Kaherah atas tuduhan menyalurkan bantuan kepada pertubuhan pengganas mendakwa penahanannya akibat tindakan yang disarankan Al Jazeera.

Mohamed dan rakan sekerjanya Baher Mohamed dihukum penjara tujuh hingga 10 tahun atas beberapa tuduhan termasuk menyebarkan penipuan untuk membantu pertubuhan yang disahkan sebagai pengganas di Mesir iaitu Ikhwanul Muslimin.

Ikhwanul diharamkan kerana menyokong bekas presiden Mohamed Mursi yang digulingkan tentera. Selepas diharamkan di negara itu, Qatar - lokasi ibu pejabat Al Jazeera - secara terbuka menyatakan sokongan terhadap kumpulan itu.

Seorang lagi rakan sekerja warga Australia Peter Greste turut dipenjara bersama Mohamed dan Baher, sebelum dibebaskan serta dihantar pulang ke negaranya awal tahun ini.

Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan yang dikenakan dan Januari lalu, mahkamah mengarahkan perbicaraan semula atas dasar kesilapan prosedur.

Pada sidang media di Kaherah, peguam Mohamed, Joanna Gialason berkata, saman berkenaan menuntut mahkamah mengisytiharkan Al Jazeera cuai terhadap anak guamnya seterusnya wajar membayar pampasan sebanyak RM361 juta kerana mengakibatkannya disabit dan dipenjarakan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:12 AM