PREM (gambar kecil) ditembak dalam penjara. FOTO/AFP
PREM (gambar kecil) ditembak dalam penjara. FOTO/AFP
Agensi

NEW DELHI: Seorang ketua samseng mati ditembak dengan tujuh das tembakan dalam penjara oleh banduan lain dipercayai anggota geng musuh, hanya beberapa jam sebelum dibawa ke mahkamah untuk kes peras ugut terhadapnya.

Prem Prakash Singh yang juga digelar Munna Bajrangi ditembak banduan dikenali sebagai Sunil Rathi, dengan satu peluru terkena kepalanya menyebabkan bahagian kanan pecah.

NDTV memetik Superintendan Polis, Jai Prakash berkata: “Sepucuk pistol bersama dua kelongsong dan 22 kartrij ditemui di dalam longkang di penjara itu.

“Munna bertengkar mengenai pembunuhan kontrak dengan Sunil yang kemudian membunuhnya.”

Dia belum dapat mengesahkan bagaimana senjata itu dibawa masuk ke penjara.

Bagaimanapun Hindustan Times melaporkan ia mungkin diseludup melalui pek makanan dikirimkan kepada Rathi yang menjalani penjara seumur hidup dan diberi kelonggaran menerima bekalan dari luar tanpa memerlukan izin mahkamah.

Ketua Pengarah Penjara Chandra Prakash berkata, empat pegawai penjara digantung tugas berhubung kejadian itu.

Munna dipindahkan ke penjara itu pada Ahad lalu untuk dihadapkan ke mahkamah atas kes peras ugut, keesokannya. Dia ditembak mati pada waktu pagi sebelum sempat dibawa untuk kesnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 10:48 PM