GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AP

London: Mahkamah Perlindungan di United Kingdom menolak tuntutan suami isteri yang mahu menggunakan sperma anak lelaki mereka yang sudah hampir meninggal dunia, bagi menunaikan permintaan pemuda itu memiliki zuriat.

Penuntut berusia 22 tahun itu rebah secara tiba-tiba ketika bermain sukan dan tidak sedarkan diri dalam rawatan rapi selepas diserang angin ahmar.

Ibu bapa lelaki itu memohon pengisytiharan yang membolehkan doktor mengambil semula sperma anak lelaki mereka dan menyimpannya secara sah supaya ia mungkin boleh digunakan pada masa hadapan untuk kelahiran bayi.

Bapa lelaki itu memberitahu hakim, anaknya mempunyai teman wanita, dan pemuda itu berkongsi keinginannya untuk memiliki zuriat sendiri sejak sekian lama.

"Saya menjelaskan kepada mahkamah saya dan isteri akan membesarkan anak itu.

"Teman wanitanya yang mengetahui permohonan ini juga menyatakan hasrat untuk hamilkan anaknya," katanya pada prosiding berkenaan, 3 November lalu.

Hakim, Justice Poole yang berpangkalan di London dan menyelia perbicaraan di Bahagian Keluarga Mahkamah Tinggi berkata, pemuda itu pernah menjadi penuntut di sebuah universiti di barat daya England serta digambarkan sebagai seorang cergas dan sihat sebelum dia rebah.

Poole memutuskan pengisytiharan itu tidak akan menjadi kepentingan terbaik buat lelaki itu.

Katanya, tiada bukti mahkamah dalam memastikan pemuda itu membenarkan spermanya dikumpulkan dan disimpan.

"Saya tidak boleh menerima perlu ada kedudukan lalai bahawa sperma harus dikumpul dan disimpan dalam keadaan seperti itu secara amnya untuk kepentingan terbaik seseorang.

"Proses mengumpul sperma (lelaki itu) secara fizikal (invasif) dan tidak ada bukti (dia) akan bersetuju atau akan bersetuju dengan tujuannya.

"Saya mengambil kira pandangan ibu bapanya mengenai kepentingan terbaik (dia).

"Bagaimanapun, dengan menimbang semua berkaitan, saya memutuskan ini bukan kepentingan terbaik (dia) untuk pengisytiharan yang dipohon (pihak berkenaan)," katanya.

Perincian kes itu dikeluarkan Khamis lalu apabila keputusan bertulis hakim diterbitkan, manakala pemuda itu dilaporkan sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 2:47 PM