ISTERI memerlukan sokongan emosi daripada suami jika mengalami masalah kesuburan.  FOTO Amiruddin Sahib
ISTERI memerlukan sokongan emosi daripada suami jika mengalami masalah kesuburan. FOTO Amiruddin Sahib
Hafiz Ithnin


ISU kesukaran mendapat zuriat dalam perkahwinan bukan sesuatu yang baru. Terdapat juga pasangan yang menunggu lebih sedekad untuk menimang cahaya mata. Tidak terkecuali, membabitkan kes sehingga seumur hidup tidak dapat menikmati kemanisan menjadi ibu dan bapa.

Mungkin wujud persepsi apabila satu pasangan itu gagal mendapatkan zuriat, ia disebabkan wanita sahaja yang kadangkala meninggalkan bahasa kesat iaitu mandul.

Hakikatnya, sekiranya kegagalan satu pasangan itu mendapat zuriat ia bukan disebabkan wanita semata-mata. Dikatakan sebanyak 30 peratus disebabkan masalah suami, 30 peratus lagi isteri sementara 40 peratus berikutan masalah yang dihadapi kedua-duanya.

Pakar Obstrektrik, Sakit Puan dan Kesuburan Metro IVF, Dr Pravin Peraba berkata, peratusan itu adalah hasil kajian yang dilakukan akar kesuburan dan lelaki seharusnya lebih terbuka untuk membincangkan masalah itu.

Katanya, jika di dalam alam perkahwinan seharusnya kedua-dua pihak perlu saling memahami kehendak untuk mempunyai zuriat dan berusaha dengan cara perubatan yang betul.

“Dalam kajian pakar kesuburan di negara ini, lelaki di Malaysia secara purata mampu mengeluarkan 80 juta hingga 90 juta sperma di dalam air mani mereka. Bagaimanapun, hanya sekitar 10 hingga 14 peratus yang berupaya membentuk embrio selepas bercantum dengan ovum.

“Jadi, apabila berlaku masalah sukar mendapat zuriat, suami jangan merasakan perkara itu hanya disebabkan si isteri kerana meskipun mereka menjalani gaya hidup yang baik seperti kerap ke gimnasium dan memakan makanan berkhasiat, tetapi ia belum tentu dapat melahirkan sperma berkualiti,” katanya.

AIR mani suami dianalisis bagi memastikan tahap kualiti.  FOTO Amiruddin Sahib
AIR mani suami dianalisis bagi memastikan tahap kualiti. FOTO Amiruddin Sahib

Sperma yang berkualiti mempunyai bentuk kepala, leher dan ekor yang sempurna. Dalam jutaan jumlah sperma yang dihasilkan bukan semua mempunyai bentuk yang baik untuk bercantum dengan ovum.

Selain itu, jika ada yang melihat bahawa jumlah pengeluaran dan pancutan air mani menjadi penanda aras kesihatan sperma, ia juga tidak tepat kerana perkara paling utama ialah mempunyai sperma yang berkualiti.

Pakar itu berkata, kebanyakan lelaki mengalami masalah sperma tidak berkualiti disebabkan faktor merokok, bekerja di tempat yang mempunyai pencemaran bahan kimia dan radiasi, kegemukan dan diabetes.

“Jika mereka mempunyai masalah untuk mempunyai kualiti sperma yang baik, kita akan berikan si suami ubat untuk dimakan dan kemudian pakar akan membuat pemeriksaan lanjut mengenai kualiti sperma mereka secara klinikal.

“Bagaimanapun, perkara paling terbaik ialah suami perlu bijak mempunyai gaya hidup dan persekitaran kerja baik sekiranya mereka ingin mempunyai kualiti sperma baik termasuk perlu berhenti merokok,” katanya.

Tanda aras bagi pasangan yang mempunyai masalah kesuburan boleh dilihat dalam tempoh setahun kerana pakar itu berpendapat 80 peratus pasangan yang berkahwin sudah mampu mempunyai embrio dalam tempoh setahun perkahwinan.

Dalam saringan kesuburan organ kesuburan wanita iaitu rahim dan kilang telur (ovari) akan diperiksa melalui ujian ultrabunyi sebelum analisis air mani dilakukan untuk melihat tahap kesihatan sperma suami.

Katanya, sekiranya seorang isteri itu didapati mengalami masalah seperti kesukaran untuk embrio melekat di rahim, suami perlu memainkan peranan penting untuk menyokong emosi wanita itu kerana tekanan juga menjadi satu sebab sukar untuk proses mendapatkan zuriat.

“Disebabkan itu, dalam tempoh rawatan kesuburan pakar menggalakkan pesakit wanita berkenaan untuk mengambil cuti kerja bagi memastikan tidak berlaku tekanan.

“Meskipun tekanan adalah subjektif, tetapi setiap individu tahu mengenainya. Sebaik-baiknya sebagai suami perlu menjadi pendorong dari segi emosi yang baik kepada pasangan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 6:30 AM