GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Sydney: Wanita Australia yang berusia 62 tahun diisytiharkan berhak ke atas sperma suaminya yang sudah mati, selepas meyakinkan hakim bahawa mereka sedang merancang untuk melahirkan bayi sebelum lelaki itu meninggal dunia.

Hakim Fiona Seaward bersetuju sperma itu boleh digunakan dan disimpan, namun berkata, perintah mahkamah yang berasingan diperlukan sebelum ia digunakan untuk persenyawaan.

Perintah itu dibuat pada 21 Disember lalu sebelum ia didedahkan kepada umum, baru-baru ini.

Pasangan itu mula berfikir untuk mempunyai anak lagi selepas anak lelaki mereka yang berusia 31 tahun maut dalam kemalangan kereta pada 2019, menurut dokumen undang-undang yang dikeluarkan pada Rabu.

Enam tahun sebelum itu, anak perempuan mereka yang berusia 29 tahun, lemas, semasa memancing.

Akibat peristiwa itu, pasangan itu mula mencari jalan sama ada sperma suami itu boleh digunakan untuk mendapatkan zuriat menerusi penggunaan 'ibu tumpang'.

Selepas suami meninggal dunia di rumah pada 17 Disember lalu, isterinya meminta pihak hospital untuk mengambil dan menyimpan spermanya.

Bagaimanapun, hospital itu tidak membenarkan permintaan itu sekali gus memaksa wanita itu mendapatkan perintah segera di Mahkamah Agung Australia Barat.

Penyelidik mengatakan, sperma itu dikumpulkan antara satu hingga dua hari selepas kematian.

Walaupun kes ini pelik, ia bukan sesuatu yang luar biasa di Australia, apabila wanita memperoleh sperma daripada pasangan yang sudah meninggal dunia.

Pada Jun 2023, seorang wanita di negara itu diberikan kebenaran untuk mendapatkan sperma daripada suaminya yang berusia 29 tahun.

Lelaki itu dilaporkan meninggal dunia selepas mengelar arterinya pada cermin tingkap yang pecah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 12:14 PM