GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Saya ikut saja keputusan pihak mahkamah."

Demikian rayuan seorang pemuda Orang Asli selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkannya dihantar ke Sekolah Henry Gurney selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki.

Hakim Tasnim Abu Bakar mengarahkan penganggur berusia 20 tahun itu menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka sehingga berusia 21 tahun.

Tertuduh sebelum itu membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Tasnim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dengan tujuan seksual di atas tangga sebuah blok di residensi di Wangsa Maju, di sini, antara jam 7 malam hingga 8 malam, 4 Mac tahun lalu.

Berdasarkan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal dan sewajarnya dan mengambil kira faktor kepentingan awam dan mangsa kanak-kanak lelaki.

"Hukuman perlu memberi kesedaran kepada tertuduh dan masyarakat," katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya Tasnim, adakah lelaki itu mahu membuat rayuan, dia seolah-olah tidak faham dan memberitahu mahkamah dia memerlukan masa untuk memberitahu rakan-rakannya.

Ditanya sekali lagi oleh Tasnim mengenai rayuannya, pesalah muda itu kemudian menjawab terpulang kepada mahkamah untuk menentukan bentuk hukumannya.

Mendengar rayuan kedua-dua pihak, Tasnim kemudian memerintahkan lelaki itu dihantar ke sekolah pemulihan akhlak itu mengambil kira faktor tiada rekod kesalahan, umur masih muda dan kepentingan awam.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 12:59 PM