RAJA Charles III ketika menghadiri acara di York, England. FOTO AP
RAJA Charles III ketika menghadiri acara di York, England. FOTO AP
AFP

London: Raja Charles III dan isterinya, Permaisuri Camilla terpaksa mengelak telur yang dibaling ke arah mereka ketika lawatan ke utara England, pada Rabu.

Raja berusia 73 tahun dan Camilla, 75, menjadi sasaran apabila tiga telur dilempar hingga jatuh berhampiran mereka ketika berjalan di York, sebelum mereka dibawa pergi oleh pengawal keselamatan.

Ketika kejadian berlaku, seorang lelaki kedengaran menjerit "negara ini dibina atas darah hamba" dan "bukan raja saya" sebelum ditahan oleh beberapa anggota polis , berdasarkan satu rakaman video.

Menurut pemberita yang hadir, penunjuk perasaan itu juga mengejek pasangan diraja itu sebelum membaling telur ke arah mereka.

Sementara itu, orang ramai yang berkumpul di lokasi bersejarah Micklegate Bar untuk lawatan itu mula melaungkan "Tuhan Selamatkan Raja" dan "kamu memalukan" kepada penunjuk perasaan.

Charles dan Camilla meneruskan upacara tradisi untuk mengalu-alukan raja secara rasmi ke bandar bersejarah itu.

Susulan kejadian, polis menahan suspek.

"Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan ketenteraman awam.

"Dia kini masih dalam tahanan polis," kata Polis North Yorkshire dalam satu kenyataan.

Media UK menamakan lelaki itu sebagai bekas calon Parti Hijau dan aktivis kumpulan protes alam sekitar, Extinction Rebellion.

Keluarga diraja berada di York untuk menghadiri majlis pelancaran patung ibu Charles, Ratu Elizabeth II, yang pertama diletakkan sejak kematian baginda ratu pada 8 September.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 10:47 AM