GAMBAR daripada rakaman CCTV yang menunjukkan suspek keluar bersama mangsa (baju putih bersama bag galas).
GAMBAR daripada rakaman CCTV yang menunjukkan suspek keluar bersama mangsa (baju putih bersama bag galas).
Agensi

Paris: Wanita yang disyaki menculik dan membunuh kanak-kanak perempuan di Perancis, Jumaat lalu dikatakan sempat menikmati roti croissant, seolah-olah tidak melakukan perbuatan kejam itu.

Malah suspek dilihat tenang dan turut meninggalkan seketika beg pakaian berisi mayat kanak-kanak berkenaan untuk ke kedai roti di seberang jalan rumah mangsa.

Jumaat lalu, mayat kanak-kanak berusia 12 tahun ditemui di dalam beg pakaian di Rue d'Hautpoul, Paris dengan badannya terikat.

Mangsa yang dikenali Lola dilapor hilang selepas tidak pulang ke rumah di 19th arrondissement, beberapa meter dari lokasi penemuan mayatnya.

Polis memberitahu media Perancis terdapat unsur penculikan di tingkat bawah pangsapuri dihuni keluarga kanak-kanak itu.

Gambar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) flat menunjukkan Lola memasuki bangunan diiringi suspek pada 3.20 petang, namun tiada pergerakan keluar.

Seorang penduduk memberitahu melihat suspek menyeret beg pakaian kira-kira dua jam selepas kehilangan Lola.

"Kami nampak dia (suspek) memasuki bangunan sendirian dan setengah jam kemudian dia keluar membawa beg pakaian, malah sempat menegur ringkas semua orang.

GAMBAR Lola yang dikongsi ibunya di media sosial.
GAMBAR Lola yang dikongsi ibunya di media sosial.

"Dia juga kelihatan sukar membawa beg pakaian yang kami sangka kerana terlalu berat, memandangkan tubuhnya kecil. Sungguh mengejutkan apabila beg itu rupanya berisi mayat budak.

"Wanita itu berjalan di sekitar bangunan bersama beg pakaiannya kira-kira 5 petang, malah sempat meninggalkan beg itu di luar kafe, selain ke seberang jalan untuk membeli croissant, seperti tiada apa-apa berlaku," katanya dipetik Mirror UK.

Ibu Lola, Delphine membuat laporan polis pada 5 petang Jumaat kerana bimbangkan keselamatan anaknya dan turut memuat naik gambar kanak-kanak itu di media sosial untuk bantuan orang ramai.

Dalam rayuannya, Delphine berkata, anaknya kali terakhir dilihat pada 3.20 petang diiringi perempuan yang tidak dikenali di kawasan kediaman mereka.

Mayat Lola ditemui pada 11.30 malam, kurang enam jam selepas kehilangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 4:51 PM