ANTARA beg tangan dipercayai dicuri yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA beg tangan dipercayai dicuri yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana


PASANGAN suami isteri dan anak lelaki mereka berusia tujuh tahun yang aktif melakukan jenayah curi di pasar raya di Kota Kinabalu sejak Mei tahun lalu tumpas apabila diberkas polis, semalam.

Tiga beranak itu ditahan di bangunan Centre Point, Kota Kinabalu oleh sepasukan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada 3.20 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, tangkapan tiga beranak itu susulan laporan polis dibuat seorang lelaki selepas jam tangan di premisnya hilang dipercayai dicuri, 9 April lalu.

“Hasil penelitian rakaman CCTV, kelihatan pasangan suami isteri bersama kanak-kanak lelaki mencuri jam tangan di premis berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, anggota polis menahan pasangan itu dan anak lelaki mereka di bangunan Centre Point berkenaan,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat, sepasukan polis menjalankan serbuan di sebuah bilik sewa di Taman Rindu, Luyang, Kota Kinabalu.

Katanya, pihak polis menemui pelbagai barangan seperti baju, beg tangan wanita, dompet, stokin, lapan jam tangan, tiga botol minyak wangi dan selipar yang dipercayai dicuri oleh suspek terbabit.

“Siasatan lanjut mendapati pasangan suami isteri itu mendedahkan mereka bergiat aktif dalam kegiatan jenayah itu di sekitar bandar raya ini terutama di Imago, Suria Sabah, KK Plaza dan Centre Point sejak Mei 2017.

“Suspek turut mengaku hampir semua barangan yang dirampas adalah barang curi dan masih mempunyai tanda harga,” katanya.

Katanya, mereka menggunakan operandi pergi ke pasar raya sambil membawa heg tangan jenis sarung untuk memudahkan kegiatan mencuri.

“Soal siasat lanjut masih diteruskan dan semua barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Pasangan suami isteri berusia 41 dan 33 tahun direman mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 9:25 PM