GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Wanita ditahan selepas dipercayai melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di sebuah rumah jagaan di daerah ini.

Suspek berusia 34 tahun yang juga kakitangan di pusat berkenaan ditahan di rumahnya kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kanak-kanak lelaki yang berusia lima tahun itu dikatakan menjadi mangsa penganiayaan secara fizikal dalam tempoh antara Julai hingga Ogos lalu.

Beliau berkata, pihak pusat perlindungan sebelum ini membuat siasatan dalaman sebelum membongkar perbuatan suspek.

"Susulan siasatan itu, kakitangan

pusat jagaan tampil membuat laporan polis jam 3.20 petang semalam.

"Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Mangsa juga sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 8:31 PM