RUMAH penjagaan di Kharkiv Oblast, Ukraine, yang pernah digunakan oleh tentera Rusia sebagai pangkalannya ketika menceroboh wilayah berkenaan. FOTO EPA
RUMAH penjagaan di Kharkiv Oblast, Ukraine, yang pernah digunakan oleh tentera Rusia sebagai pangkalannya ketika menceroboh wilayah berkenaan. FOTO EPA
Reuters

Vilnius: Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) Latvia, Lithuania dan Estonia yang bersempadan dengan Rusia tidak akan menawarkan perlindungan kepada mana-mana warga Rusia yang melarikan diri, susulan tindakan Moscow untuk mengerahkan askar simpanan ke medan perang, kata menteri mereka pada Rabu.

Susulan perkembangan itu, harga jualan tiket penerbangan sehala keluar dari Rusia, melonjak dan terjual dengan cepat

Apabila Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan panggilan segera 300,000 anggota pasukan simpanan, berlakunya peningkatan permintaan bagi menaiki penerbangan sehala keluar dari negara itu.

"Penolakan untuk memenuhi kewajipan sivik seseorang di Rusia atau keinginan untuk tidak berbuat arahan itu bukan alasan yang mencukupi untuk (seseorang) diberikan suaka di negara lain", kata Menteri Luar Estonia Urmas Reinsalu dalam e-mel kepada Reuters.

Di Twitter, Menteri Luar Latvia Edgars Rinkevics memetik kebimbangan keselamatan untuk penolakan itu.

Kementerian Dalam Negeri Lithuania berkata, setiap kes suaka akan dipertimbangkan secara berasingan.

Ketiga-tiga negara itu, dan Poland, mula menolak kemasukan warga Rusia pada tengah malam pada Isnin, dengan mengatakan penduduk Rusia tidak boleh melakukan perjalanan semasa negara mereka berperang dengan Ukraine.

Larangan itu tidak termasuk penentang Rusia yang mencari perlindungan di EU, serta pemandu lori, pelarian dan penduduk tetap negara EU serta mereka yang melawat ahli keluarga terdekat.

Gelombang besar pelarian Rusia boleh mengubah keseimbangan etnik di beberapa negara Baltik.

Di Latvia, 25 peratus daripada penduduk adalah orang Rusia, dan lebih 40 peratus daripada penduduk ibu kotanya di Riga adalah orang Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 11:41 AM