BENDERA Ukraine telah dinaikkan sebagai sokongan kepada rakyat Ukraine di hadapan dewan bandar Bordeaux, barat daya Perancis. FOTO AFP
BENDERA Ukraine telah dinaikkan sebagai sokongan kepada rakyat Ukraine di hadapan dewan bandar Bordeaux, barat daya Perancis. FOTO AFP
Abdul Muein Abadi

DUNIA digegarkan dengan tindakan Rusia menyerang Ukraine secara besar-besaran, kurang 48 jam selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengisytiharkan kemerdekaan dua wilayah Ukraine - Donetsk dan Luhansk.

Retorik kononnya bala tentera Rusia yang dikerah memasuki kedua-dua wilayah Ukraine itu atas nama 'tentera pengaman' ternyata pembohongan sama sekali apabil Rusia menyerang Ukraine bukan sahaja dari Donbass, tetapi juga dari Crimea dan berhampiran Belarus.

Amerika Syarikat, Pakatan Atlantik Utara (Nato), Majlis Keselamatan PBB pula gagal menghalang peperangan ini.

Soalnya kini, apakah impak perkembangan ini kepada ekonomi politik antarabangsa dan rakyat Malaysia?

Rusia ialah pengeluar minyak kedua terbesar dunia dengan syarikat Rosneft yang cukup terkenal, turut berperanan sebagai pengeluar gas asli utama.

Malah, paling terkenal adalah syarikat Gazprom yang menaja kejohanan bola sepak terkemuka dunia, UEFA Champions League.

Tidak menghairankan, harga minyak dunia yang telah mencecah rekod tertinggi dalam tempoh tujuh tahun – sejak krisis Crimea yang mengorbankan penumpang dan pesawat MH17 kita pada 2014 – melebihi AS$90 setong kini cecah AS$100 setong.

Rekod harga minyak akan berterusan melonjak melebihi 100 dolar AS sekiranya berlaku campur tangan ketenteraan kuasa Barat melalui bantuan Nato.

Selain menjadi negara utama dalam sektor tenaga yang menggerakkan dunia, Rusia juga pengeksport utama bijirin seperti gandum, begitu juga dengan Ukraine yang turut memainkan peranan sebagai antara negara pengeluar gandum utama.

Maka sebarang gangguan pengeluaran dan pengangkutan di wilayah Laut Hitam bakal memberi impak harga makanan.

Pada dasarnya, percaturan terbaharu Putin ini cukup bijak untuk kepentingan Rusia, menyekat kemaraan Nato serta mewujudkan negara penampan (buffer states) baharu melalui Donestk dan Luhansk yang sebelum ini hanya berada dalam kawalan puak pemisah pro-Rusia.

Namun, langkah ini turut bakal memberi impak sistemik yang negatif kepada negara lain dalam keadaan seluruh dunia sedang pulih daripada krisis kesihatan.

Faktanya, Rusia sendiri adalah pembekal minyak kedua terbesar kepada Amerika Syarikat (AS) dan juga pembekal gas asli paling utama kepada Eropah.

Ramai taikun gergasi Rusia turut melabur dan menyimpan aset mereka di Barat seperti Roman Abramovich pemilik pasukan bola sepak Chelsea.

Malah, Rusia ialah antara negara di dunia yang asetnya di luar negara hampir menyamai nilai keluaran negara kasarnya melalui taikun yang bekerjasama dengan bank serta sistem kewangan luar pesisir Barat.

Syarikat Barat juga memiliki kepentingan yang tidak sedikit di Rusia seperti BP British yang memiliki hampir 20 peratus kepentingan dalam Rosneft, manakala Exxon (AS) dan Shell (UK-Belanda) memiliki kepentingan dalam medan gas asli cecair (LNG) Sakhalin Rusia.

Akibatnya, meskipun AS dan sekutu Nato di Eropah seringkali mengugut untuk mengenakan sekatan ke atas Rusia, langkah sedemikian bakal mengimpak import sektor tenaga mereka sendiri yang paling utama.

Tindakan terbaharu Presiden Rusia ini ternyata bukan omong kosong dengan lebih 190,000 bala tentera Rusia mengepung Ukraine dari segenap arah, termasuk dari dalam negara Belarus (sekutu Moscow) dan Crimea, dengan lebih 70 peratus angkatan darat dalam posisi menyerang Ukraine.

Malah, Rusia turut memindahkan penduduk wanita dan kanak-kanak Donbas secara besar-besaran ke Rusia dengan diberi 10,000 Rouble seorang.

Kaum lelaki Donbass pula sedang menyertai angkatan bersenjata pemisah pro-Rusia secara beramai-ramai.

Putin menegaskan bahawa sistem ketenteraan Ukraine sudahpun terintegrasi ke dalam sistem angkatan tentera Nato.

Malah, Putin mendedahkan bahawa kuasa Barat dan Nato turut membantu Ukraine untuk membangunkan senjata nuklear mereka sendiri dengan memanfaatkan tinggalan Kesatuan Soviet Rusia di Ukraine.

Bukan sahaja AS dan Nato mungkir janji pada 1991 kononnya Nato tidak akan meluaskan keanggotaan, dengan menerima negara-negara seperti Estonia, Latvia, Bulgaria, Romania, Slovakia, Lithuania, Albania, Montenegro dan Macedonia Utara, sebaliknya kini cuba membawa masuk Ukraine pula.

Semua perkembangan ini membangkitkan kemarahan Putin dalam keadaan AS menempatkan peluru berpandu nuklear di Jerman, Itali, Belgium, Belanda, dan Turki sejak sekian lama.

UK dan Perancis pula memiliki senjata nuklear sendiri. Pendedahan Putin tentang rancangan Ukraine untuk membangunkan senjata nuklear dengan bantuan Barat, di samping penegasan Ukraine bukanlah negara yang sebenar, sebaliknya terhasil daripada kesilapan pemimpin Komunis Kesatuan Soviet dahulu – memberi justifikasi kepada Rusia untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas seluruh negara Ukraine, di sebalik usaha diplomatik Perancis dan juga ugutan sekatan AS, Jerman dan sekutunya.

Di Asia Tenggara, ramai pemerhati bimbang sekiranya Rusia berjaya menawan Ukraine, maka China akan termotivasi untuk mengambil tindakan sama di Laut China Selatan.

Bagaimanapun, realiti ekonomi politik tidak mengizinkan China untuk bertindak serupa kerana Beijing memiliki nilai pelaburan yang besar di Asia Tenggara dan di AS sendiri. Berbeza dengan taikun Rusia yang melabur di Barat atas kapasiti individu, pelaburan China di Barat secara umumnya adalah di bawah kawalan kerajaan China.

Apa yang pasti, rakyat Malaysia jelas akan menerima impak kenaikan berterusan harga minyak, harga barang dan harga makanan akibat kenaikan kos pembuatan dan pengangkutan. Kenaikan harga minyak turut akan menaikkan nilai mata wang ringgit, sekali gus mengimpak eksport kita secara negatif.

Namun, ada sedikit sebanyak sisi positif untuk kita di mana dalam Bajet 2022 Malaysia tahun lalu mengguna anggaran harga minyak sekitar AS$66 setong. Maka, kenaikan harga hingga AS$90 kini, meski pun bakal memberi impak inflasi, tetap akan memberi pendapatan lebih kepada Petronas, sekali gus memberi sedikit impak positif kepada rancangan kerajaan untuk mengimbangi subsidi minyak, makanan dan bahan mentah.

Penulis Penyelidik Doktor Falsafah (PhD) di Fakulti Tadbir Urus dan Hal Ehwal Global, Universiti Leiden, Belanda

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 5:59 AM