FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
Reuters

New York: Meta membenarkan pengguna Facebook dan Instagram di negara tertentu untuk menyuarakan ketidak puasan hati terhadap pencerobohan Rusia di Ukraine, menurut e-mel dalaman yang dilihat Reuters, semalam.

Kebenaran itu menyaksikan perubahan sementara terhadap dasar syarikat media sosial itu berhubung ucapan berbaur kebencian.

Malah, syarikat itu juga memberi kebenaran sementara untuk beberapa hantaran menyeru kematian terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin, atau Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, di beberapa negara termasuk Rusia, Ukraine dan Poland, menurut sejumlah e-mel dalaman kepada pengendali kandungannya.

"Susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kami memberi kebenaran sementara untuk ekspresi politik yang lazimnya bertentangan dengan peraturan kami, sebagai contoh ucapan ganas seperti 'matilah penceroboh Rusia'.

"Bagaimanapun, kami masih tidak membenarkan keganasan terhadap orang awam Rusia," kata jurucakap Meta dalam kenyataan.

Menurut satu e-mel terbabit, seruan agar pemimpin berkenaan maut, akan dibenarkan kecuali sekiranya ia mengandungi sasaran lain atau mempunyai dua petunjuk kredibiliti, seperti lokasi atau kaedah.

Perubahan sementara dasar berhubung seruan keganasan itu diguna pakai di Armenia, Azerbaijan, Estonia, Georgia, Hungary, Latvia, Lithuania, Poland, Romania, Russia, Slovakia dan Ukraine, menurut e-mel terbabit.

Sementara itu, Kedutaan Rusia di Amerika Syarikat (AS) menggesa Washington supaya menghentikan tindakan Meta yang disifatkan sebagai 'aktiviti pengganas'.

"Dasar agresif dan jenayah Meta yang membawa kepada hasutan kebencian serta permusuhan terhadap Rusia, adalah keterlaluan.

"Tindakan syarikat itu adalah satu lagi bukti perang maklumat tanpa peraturan terhadap negara kami," menurut Kedutaan Rusia dalam kenyataan.

Berdasarkan e-mel berkenaan juga, Meta turut membenarkan pujian terhadap batalion sayap kiri, Azov yang sebelum ini termasuk dalam sebahagian larangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 6:15 PM