KENDERAAN membawa keranda mendiang Ratu Elizabeth II tiba di Istana Holyroodhouse. FOTO Reuters
KENDERAAN membawa keranda mendiang Ratu Elizabeth II tiba di Istana Holyroodhouse. FOTO Reuters
Reuters

Edinburgh: Raja Charles III ke Edinburgh untuk bersama adik-beradiknya pada Isnin, sebaik jasad mendiang Ratu Elizabeth II dibawa ke Katedral St Giles.

Raja Britain yang baharu ditabal itu juga akan menyertai kerabat diraja di gereja itu, yang menempatkan keranda mendiang sebelum jasad ratu diterbangkan ke London pada Selasa.

Sebaik kemangkatan Ratu Elizabeth II pada usia 96 tahun di Istana Balmoral diumumkan, perancangan rapi disusun bagi acara penghormatan dan pengebumian dilaksanakan.

Pada Ahad, keranda kayu oaknya yang ditutup dengan bendera Royal Standard of Scotland dengan kalungan bunga di atasnya dibawa dengan kenderaan jenazah dari Istana Balmoral.

Perjalanan dari Istana Balmoral mengambil masa enam jam akan melintasi kawasan desa, kampung dan pekan kecil sebelum tiba di Edinburgh.

Puluhan ribu rakyat berbaris di sepanjang laluan yang membawa keranda mendiang ratu bagi memberikan penghormatan terakhir.

Rakyat juga berkumpul di kawasan Edinburgh bagi menantikan rombongan tiba di Istana Holyroodhouse di sini.

"Keadaan ini sangat menyedihkan kerana tidak jangka perkara seperti ini akan berlaku," kata Rachel Lindsay, 24.

Sebelum berlepas ke Scotland, Raja Charles, 73, bersama pemimpin lain termasuk dari Australia, Kanada, Jamaica, New Zealand dan Papua New Guinea pergi ke Parlimen Britain untuk satu lagi upacara tradisi.

Di Westminster Hall, penggubal undang-undang dari Dewan Rakyat dan Dewan Pertuanan menyampaikan ucapan takziah atas kematian ibunya, manakala Raja Charles III akan memberi ucapan balas.

Baginda kemudian akan terbang ke Edinburgh bersama isterinya Camilla bagi menyertai kakaknya Anne dan dua lagi adiknya, Andrew dan Edward.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 10:15 AM