CAMILLA bersama Charles. FOTO EPA
CAMILLA bersama Charles. FOTO EPA
AFP

London: Camilla yang juga isteri kepada Charles, Putera Wales, bakal menjadi raja permaisuri selepas menempuh kesukaran berdepan persepsi orang ramai yang membencinya selain pernah dilabel sebagai individu yang memusnahkan rumah tangga lelaki itu dengan Puteri Diana sebelum ini.

Dalam tempoh bertahun lamanya, Camilla difitnah sebagai pemusnah rumah tangga yang menghancurkan kisah dongeng percintaan kerabat diraja Britain.

Diana sendiri pernah mendedahkan mengenai hubungan Camilla dengan suaminya dalam temu bual bersama BBC pada 1995 dengan menyifatkan terdapat tiga orang dalam rumah tangganya.

Camilla yang juga kekasih lama Charles, berkahwin dengan seorang pegawai tentera British, Andrew Parker Bowles pada 1973 kerana percaya Charles tidak akan melamarnya.

Perkahwinan itu turut dihadiri tetamu diraja termasuk Puteri Margaret dan Puteri Anne.

Pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Tom Parker Bowles yang juga penulis makanan dan Laura Lopes yang bekerja sebagai kurator seni.

Meskipun sudah berkahwin, Charles didakwa terus bertemu Camilla walaupun selepas perkahwinan berprofil tingginya dengan Diana berlangsung di Katedral St Paul pada 1981.

Camilla dan Andrew kemudian bercerai pada 1995 sebelum diikuti perceraian Charles dan Diana setahun kemudian.

Selepas kematian Diana dalam insiden kemalangan kereta di Paris pada 1997, Charles dan Camilla dilihat muncul bersama di khalayak ramai dan mula diterima sebagai pasangan dengan penampilan pertama mereka sebagai pasangan pada 1999.

Pasangan itu kemudian berkahwin pada 2005 dan dari masa ke masa, Camelia menerima banyak pujian sebagai isteri bakal raja yang setia.

Pada majlis ulang tahun pemerintahannya yang ke-70, Ratu Elizabeth II menyuarakan harapan Camilla akan dikenali sebagai raja permaisuri apabila Charles menjadi raja sekali gus menyelesaikan perdebatan panjang mengenai gelarannya.

Tinjauan YouGov pada Mei lalu mendapati hanya 20 peratus mahu melihat Camilia menjadi ratu, manakala 39 peratus menggemari gelaran 'princess consort' untuknya.

YouGov turut meletakkan Camilla sebagai kerabat diraja kelapan paling popular dalam tiga bulan kedua tahun ini dengan 40 peratus berpandangan positif terhadapnya.

Berita berkaitan

Ratu Elizabeth II mangkat

Charles, akhirnya menjadi raja

Elizabeth, satu-satunya individu tidak miliki pasport

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 10:35 AM