CHARLES. FOTO Fail EPA
CHARLES. FOTO Fail EPA
AFP

London: Raja Charles III bukan sahaja mewarisi takhta selepas kemangkatan bondanya, Ratu Elizabeth II tetapi turut mewarisi kekayaan peribadinya tanpa perlu membayar cukai warisan.

Raja-raja Britain tidak perlu mendedahkan kewangan peribadi mereka tetapi menurut Sunday Times Rich List 2022, nilai kekayaan ratu itu bernilai kira-kira 370 juta pound sterling (RM1.9 billion) dengan peningkatan lima juta pound sterling (RM22.4 juta) dari tahun sebelumnya.

Sebahagian besar kekayaan peribadi mendiang ratu akan diserahkan kepada Charles secara terus dengan kerajaan Britain tidak mendapat apa-apa.

Kekayaan diraja sebenar iaitu hartanah, dan koleksi seni dan barang kemas diraja serta kediaman rasmi dan Arkib Diraja dipegang oleh monarki sebagai sebuah institusi.

Oleh itu, mereka hanya akan menyerahkan kepada Charle dalam bentuk amanah.

Ia termasuk barang kemas dan perhiasan dianggarkan bernilai kira-kira tiga bilion pound sterling (RM15 billion) yang hanya kepunyaan simbolik ratu dan secara automatik dipindahkan kepada penggantinya.

Kekayaan peribadi ratu juga menambah kekayaan Charles yang dianggarkan kira-kira AS$100 juta kira-kira RM449 juta), lapor laman web celebritynetworth.com.

Sebagai perbandingan, mendiang suami Elizabeth, Putera Philip, meninggalkan harta pusaka yang lebih sederhana bernilai 10 juta pound sterling (RM52 juta) termasuk koleksi seni dengan kira-kira 3,000 karya yang kebanyakannya diberikan kepada keluarga dan rakan lapor Sunday Times.

Pada 2021, mahkamah memerintahkan wasiatnya dimeterai selama 90 tahun.

Sebagai raja, Charles mewarisi Duchy of Lancaster iaitu portfolio tanah, hartanah dan aset yang dimiliki oleh diraja sejak Zaman Pertengahan.

Raja berhak menggunakan pendapatannya dan sebahagian besarnya menggunakannya untuk memenuhi perbelanjaan rasmi.

Pada tahun kewangan 2021-22, terdapat lebihan pendapatan bersih sebanyak 24 juta pound sterling (RM124 juta).

Pada masa sama, Charles juga akan kehilangan Duchy of Cornwall iaitu sebuah lagi estet persendirian di barat daya England.

Ia membawa lebihan pendapatan kira-kira 23 juta pound sterling (RM119 juta) pada 2021-22.

Harta itu diwariskan oleh Edward III pada 1337 untuk anak lelaki dan pewarisnya, Putera Edward yang akan diserahkan kepada anak sulung Charles, Putera William yang kini menjadi pewaris takhta.

Charles juga akan menerima Geran Kedaulatan tahunan daripada Perbendaharaan United Kingdom.

Geran Kedaulatan meliputi kos urusan rasmi bagi raja dan ahli keluarga kerabat diraja yang lain selain membayar gaji kakitangan mereka dan menjaga istana diraja.

Cukai warisan di Britain dikenakan sebanyak 40 peratus ke atas aset yang melebihi nilai ambang 325,000 pound sterling (RM1.6 juta).

Namun, raja baharu itu tidak akan membayar cukai pusaka ke atas kekayaan peribadi yang akan diwarisi daripada bondanya kerana undang-undang dibuat pada 1993 yang memperuntukkan aset diserahkan daripada seorang raja atau permaisuri raja kepada raja berikutnya adalah dikecualikan bayaran cukai.

Berita berkaitan

Ratu Elizabeth II mangkat

Charles, akhirnya menjadi raja

Elizabeth, satu-satunya individu tidak miliki pasport

Camilla bakal raja permaisuri

Operasi London Bridge bermula

Wang, lagu kebangsaan akan bertukar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 3:08 PM