AEROFLOT. FOTO Reuters
AEROFLOT. FOTO Reuters
Agensi

Moscow: Sekatan yang dikenakan ke atas Rusia akibat menghantar tenteranya ke Ukraine pada penghujung Februari lalu, menyebabkan syarikat penerbangan di negara itu sukar mendapatkan alat ganti atau membuat penyelenggaraan di negara Barat.

Menurut empat sumber industri kepada Reuters, sekatan itu menyebabkan syarikat penerbangan Rusia termasuk Aeroflot, menanggalkan bahagian pesawat jet untuk mendapatkan alat ganti yang tidak boleh dibeli lagi di luar negara kerana sekatan Barat.

Langkah itu adalah selaras dengan arahan kerajaan pada Jun lalu supaya menggunakan komponen pesawat untuk kelangsungan industri penerbangan sehingga 2025.

Pakar penerbangan berkata, syarikat-syarikat penerbangan Rusia mungkin akan mula mengambil komponen dari pesawat miliknya untuk memastikan industri penerbangan beroperasi.

Sekurang-kurangnya sebuah Sukhoi Superjet 100 buatan Rusia dan sebuah Airbus A350, kedua-duanya dikendalikan oleh Aeroflot, kini dilupuskan dan komponennya sedang dileraikan, kata satu sumber yang mengetahui perkara itu.

Airbus A350 hampir serba baharu, kata sumber itu menerusi laporan portal Bangkok Post.

Kebanyakan pesawat Rusia terdiri daripada jet penumpang buatan negara Barat.

Peralatan diambil daripada beberapa pesawat Boeing 737 dan Airbus A320 milik Aeroflot kerana syarikat penerbangan itu memerlukan lebih banyak alat ganti daripada model itu untuk Boeing 737 dan Airbus A320 yang lain, kata sumber itu.

Namun, Kementerian Pengangkutan Rusia dan Aeroflot enggan mengulas perkara itu.

Aeroflot, antara syarikat penerbangan terkemuka dunia tetapi kini bergantung kepada sokongan negara, mengalami kejatuhan 22 peratus dalam trafik pada suku kedua tahun ini berbanding setahun lalu, data syarikat itu menunjukkan selepas sekatan antarabangsa terhadap Rusia.

Sumber itu berkata, mendapatkan bekalan dari negara yang tidak mengenakan sekatan ke atas Rusia tidak mungkin membantu kerana syarikat dari Asia dan Timur Tengah bimbang risiko sekatan Barat terhadap mereka.

"Setiap bahagian mempunyai nombor (unik) sendiri dan jika dokumen itu akan mempunyai syarikat penerbangan Rusia sebagai pembeli terakhir maka tiada siapa yang akan bersetuju untuk membekalkan, China mahupun Dubai," kata salah satu sumber.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 2:07 PM