PESAWAT Airbus A320neo. FOTO AFP
PESAWAT Airbus A320neo. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Empat syarikat penerbangan China membeli 292 pesawat Airbus dengan nilai AS$37 bilion (kira-kira RM167 bilion) daripada syarikat penerbangan gergasi ketika industri penerbangan kembali 'bernafas' selepas pandemik Covid-19.

Tempahan itu dibuat di saat Airbus mencatatkan keuntungan pada 2021 selepas kemerosotan ekoran pandemik dua tahun lalu.

Ia sekali gus memberikan syarikat itu rangsangan berbanding pesaingnya, Boeing.

China Eastern berkata, syarikat itu bersetuju membeli 100 jet A320neo.

China Southern pada hari yang sama berkata, syarikat berkenaan akan membeli 96 model yang sama.

Air China dan anak syarikatnya, Shenzhen Airlines juga mengesahkan pembelian gabungan 96 pesawat A320neo.

Airbus dalam satu kenyataan pada hari Jumaat berkata, perjanjian itu menunjukkan 'momentum pemulihan yang positif dan prospek yang makmur untuk pasaran penerbangan China'.

Syarikat itu berkata, perjanjian itu membawa kepada kesimpulan perbincangan lanjut dan akan lebih meluas selepas melalui fasa pandemik Covid-19.

Perniagaan Boeing di China yang menjadi pasaran penerbangan terbesar di dunia turut mengalami ketidakpastian selepas pesawat 737 MAX miliknya digantung penerbangannya di selepas nahas pada 2019.

Pihak berkuasa China akhirnya memberi kebenaran untuk 737 MAX menyambung semula perkhidmatan tahun lalu selepas membuat beberapa siri pelarasan keselamatan.

Pada Mac lalu, sebuah Boeing 737-800 terhempas di wilayah selatan Guangxi, mengorbankan 132 orang, dalam nahas udara terburuk di China sejak beberapa dekad.

Industri pelancongan China terkesan disebabkan dasar ketat sifar Covid-19 negara itu yang mengenakan sekatan menyeluruh sehingga menjejaskan ekonomi dan keyakinan pengguna.

Sempadan antarabangsa negara itu pula ditutup bermula Mac 2020 dengan jumlah penerbangan antarabangsa masih dihadkan dalam usaha mengurangkan kes virus import.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 6:30 AM