PESAWAT Boeing A330neo.
PESAWAT Boeing A330neo.

MALAYSIA Aviation Group (MAG) merancang untuk menambah 12 pesawat baharu pada 2024, termasuk Airbus 330-900 (A330neo) pertama yang dijadualkan tiba pada suku ketiga tahun ini.

Kumpulan itu menyasarkan untuk menerima empat daripada jenis pesawat baharu itu tahun ini, bersama lapan pesawat Boeing 737-8 bagi menyokong keperluan pertumbuhan rangkaiannya.

Pada Ogos 2022, MAG telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Airbus, Rolls-Royce dan Avolon untuk pemerolehan 20 pesawat A330neo yang dijadualkan dihantar sehingga 2028.

Sebanyak 10 daripada pesawat itu dibeli terus daripada Airbus dan urusan jual beli serta pajakan balik secara langsung bersama Avolon, manakala baki 10 lagi dipajak terus daripada Avolon.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, pesawat A330neo ditetapkan untuk menyediakan kecekapan operasi yang lebih baik kepada armada MAG di samping menangani sasaran kelestarian alam sekitar dengan menawarkan pengurangan sehingga 25 peratus dalam penggunaan bahan api dan pelepasan karbon.

"Dengan konfigurasi 1-2-1, tempat duduk Kelas Perniagaan Collins Aerospace Elevation yang baru direka akan menjadi tempat duduk pertama bagi kumpulan, menampilkan kabin dengan suite dan pintu privasi individu yang mengutamakan keselesaan dan praktikal kabin.

"Sarung tempat duduk akan menampilkan motif songket yang merupakan satu penghormatan kepada warisan budaya Malaysia, mencipta gabungan harmoni tradisi dan gaya kontemporari.

"Dengan susun atur akses ke semua lorong, tempat duduk itu memastikan pengalaman yang selesa dengan menggabungkan reka bentuk mewah dan fleksibiliti penggayaan yang optimum," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dengan pengenalan tempat duduk baharu ini, Malaysia Airlines bersedia untuk menjadi syarikat penerbangan utama di dunia untuk menampilkan tempat duduk pada kerangka pesawat A330 di mana A330neo akan terdiri daripada 297 tempat duduk iaitu 28 dalam kelas perniagaan, 269 dalam kelas ekonomi dan 24 tempat duduk dilengkapi dengan ruang kaki tambahan.

Katanya, pesawat itu juga akan dilengkapi sambungan WiFi, memastikan penumpang dapat mengalami ruang kabin yang praktikal di atas 'Malaysian Hospitality'.

"Kami teruja untuk memperkenalkan 20 Airbus A330neo yang pertama daripada pada suku ketiga tahun ini, yang secara beransur-ansur akan menggantikan armada A330ceo kami dan beroperasi ke rangkaian kami di seluruh Asia, Oceania, dan Asia Barat.

"Perkembangan ini bukan sahaja untuk meningkatkan inventori kami tetapi juga memperkenalkan kelas kabin pertama di mana tempat duduk dan pengalaman baharu yang mengutamakan keselamatan, keselesaan dan kepuasan pelanggan secara keseluruhan," katanya.

Bagi mengukuhkan lagi program pemodenan angkatan pesawat, kumpulan juga akan mengubahsuai enam daripada pesawat A350-900 mulai 2026 bagi memastikan penyeragaman kabin yang konsisten dan pengalaman premium untuk pelanggan sejajar dengan kabin A330neo baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 7:17 AM