PETUGAS melakukan operasi pencarian di lokasi nahas pesawat China Eastern Airlines di wilayah Guangxi. FOTO Reuters
PETUGAS melakukan operasi pencarian di lokasi nahas pesawat China Eastern Airlines di wilayah Guangxi. FOTO Reuters
Agensi

Beijing: Syarikat penerbangan, China Eastern Airlines menggantung operasi berpuluh-puluh pesawat selepas nahas maut, awal minggu ini.

Syarikat penerbangan itu dan anak syarikatnya menghentikan sementara operasi 223 pesawat Boeing 737-800, kata jurucakap syarikat penerbangan Liu Xiaodong dalam sidang akhbar pada Khamis lalu.

CNN melaporkan, pesawat jenis yang sama turut terbabit dalam nahas itu.

Pesawat sedang menjalani pemeriksaan dan penyelenggaraan keselamatan untuk memastikan ia selamat untuk terbang, kata Liu.

Syarikat penerbangan itu melancarkan rombakan keselamatan menyeluruh selepas nahas itu, katanya.

Tindakan itu dibuat beberapa hari selepas penerbangan China Eastern Airlines 5735 terhempas di kawasan terpencil dan pergunungan di selatan negara itu ketika ia terbang dari Kunming ke Guangzhou, dalam nahas udara terburuk di China dalam lebih sedekad.

Penerbangan itu membawa 132 orang di atas kapal dan tiada mangsa yang terselamat ditemukan selepas hari ketiga pencarian, kata penyiasat China hari ini.

Punca nahas pada Isnin lalu itu masih belum dapat ditentukan.

Tetapi penemuan perakam suara kokpit pada hari Rabu lalu mungkin memberikan petunjuk penting mengenai bagaimana bencana itu berlaku.

Ia adalah satu daripada dua yang dipanggil 'kotak hitam', dengan penyiasat masih mencari perakam data penerbangan.

Pesawat 737-800 ialah versi paling biasa bagi jet Boeing yang kini dalam perkhidmatan, dan ia adalah pesawat utama digunakan banyak syarikat penerbangan.

Terdapat 4,502 daripada 737-800 kini dalam perkhidmatan di seluruh dunia, menurut firma analisis penerbangan Cirium, menjadikannya pesawat Boeing paling biasa digunakan hari ini.

Ia adalah model pesawat yang paling biasa di Amerika Syarikat, di mana terdapat 795 pesawat jenis itu dalam perkhidmatan.

Di China, ada 1,177 pesawat sama dalam perkhidmatan.

Ia adalah pesawat kedua paling biasa digunakan di seluruh dunia, di belakang pesawat A320 yang dibuat oleh pesaing utama Boeing iaitu Airbus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 10:06 AM