AFP

Athens: Sebuah pesawat kargo milik Ukraine, Antonov An-12 terhempas, semalam, berdekatan Paleochori Kavalas di utara Greece, kata pasukan bomba.

Saksi berkata, pesawat itu terbakar dan mereka mendengar letupan, lapor Agensi Berita Athens.

Seorang lelaki tempatan, Giorgos Archontopoulos memberitahu televisyen ERT penyiar negeri, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena sebaik mendengar enjin pesawat itu.

"Pada jam 10.45 malam saya dikejutkan dengan bunyi enjin pesawat itu, saya keluar dan melihat enjin terbakar," katanya.

Pegawai tempatan berkata, tujuh jentera bomba dikerahkan ke lokasi nahas, tetapi mereka tidak dapat mendekati kerana letupan berterusan.

Menurut laporan media, pesawat kargo itu dalam perjalanan dari Serbia ke Jordan dan meminta pelepasan untuk melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Kavala berhampiran, tetapi tidak berjaya tiba ke sana.

Televisyen ERT melaporkan ia adalah pesawat Ukraine, yang menurut penduduk kampung sudah terbakar sebelum ia terhempas.

KEBAKARAN dari kawasan nahas pesawat kargo Ukraine berkenaan. FOTO EPA
KEBAKARAN dari kawasan nahas pesawat kargo Ukraine berkenaan. FOTO EPA

Tiada maklumat rasmi mengenai jumlah orang di dalam pesawat itu yang masih terbakar menurut rakaman langsung yang disiarkan di televisyen negara.

Tetapi ERT melaporkan, pesawat itu membawa lapan orang dan kargonya mempunyai bahan berbahaya.

Polis meminta wartawan di tempat kejadian memakai topeng, tambah laporan itu.

"Kamu perlu pergi untuk keselamatan. Terdapat maklumat pesawat itu membawa peluru," seorang anggota bomba memberitahu wartawan di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 10:15 AM