PESAWAT Penerbangan Malaysia MH17  terbakar selepas terhempas di Ukraine tahun lalu.
PESAWAT Penerbangan Malaysia MH17 terbakar selepas terhempas di Ukraine tahun lalu.
Agensi

Amsterdam: Serpihan peluru berpandu Buk dijumpai pada mayat mangsa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.

Pendedahan itu dibuat seorang penyiasat Ukraine yang menganggotai pasukan antarabangsa menyiasat punca nahas berkenaan.

Ia juga diumumkan seminggu sebelum Lembaga Keselamatan Belanda mengeluarkan laporan akhir siasatan nahas pesawat Boeing 777 itu.

Pasukan Siasatan Bersama (JIT) mengesahkan kepada stesen televisyen NOS bahawa penyiasat Ukraine, Vasyl Vovk terbabit dalam siasatan nahas itu selama setahun hingga 19 Jun lalu.

Bagaimanapun, pasukan siasatan itu mengkritik Vovk kerana tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Vovk menyertai pakar Belanda, Australia dan Ukraine meleraikan sampel peluru berpandu Buk bagi menentukan bukti forensik pada rangka pesawat dan mayat mangsa sepadan dengan bahan yang digunakan untuk membuat senjata berkenaan.

Katanya, serpihan yang dijumpai itu sepadan dengan sampel Buk dan ia dihantar kepada pakar untuk dianalisis.

“Tiada siapa yang mempertikaikan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Buk yang dilancarkan dari sistem Buk yang diperoleh dari wilayah Russia.

“Selepas jenayah itu, di wilayah yang sama, satu halangan diwujudkan dengan bantuan anggota pengganas,” katanya yang merujuk kepada pemberontak Ukraine.

Vovk tidak secara langsung memberitahu siapa yang menembak jatuh MH17, tetapi berkata, sukar dipercayai askar boleh melancarkan peluru berpandu itu tanpa arahan pegawai tinggi.

“Menteri Pertahanan Russia mesti tahu mengenai perkara ini,” tambahnya.

JIT juga tidak menafikan sejumlah bukti memberi petunjuk peluru berpandu Buk yang menyebabkan pesawat malang berkenaan terhempas.

“Walaupun bukti ini menunjukkan ke satu arah, tetapi kami tidak boleh mengenepikan senario yang lain,” kata JIT dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:06 AM