TATU kasut yang dibuat Gunther pada kaki pelanggannya. FOTO Agensi
TATU kasut yang dibuat Gunther pada kaki pelanggannya. FOTO Agensi
Agensi

London: Bosan kerana kerap membeli sepasang kasut gimnasium baharu, seorang lelaki United Kingdom (UK) memutuskan untuk memiliki kasut kegemarannya dengan tatu kekal di kakinya.

Dean Gunther, artis tatu popular dari Manchester baru-baru ini tular di Instagram dan TikTok selepas berkongsi video pendek dirinya membuat tatu sepasang kasut ke kaki pelanggan.

Portal Oddity Central melaporkan walaupun dilukis secara eksklusif dengan tangan, tetapi jika dilihat dari sudut tertentu, reka bentuk itu benar-benar mencipta ilusi orang itu memakai sepasang kasut Vibram FiveFingers.

"Dia bosan membeli kasut, jadi dia memutuskan untuk mendapatkan sepasang Nike kegemarannya dengan membuat tatu.

"Sudah tentu permulaan perbualan yang hebat. Isteri dia pun suka," menurut Gunther kepada NeedToKnow.online.

Gunther berkata, bahagian yang paling sukar ialah melukis kasut dengan tangan, kerana menggunakan stensil adalah mustahil.

Katanya, dia melihat semua sudut kasut dan kemudian menghabiskan beberapa jam menyiapkan reka bentuk itu ke kaki pelanggan dan ia mengambil masa lapan jam lagi untuk disiapkan.

"Melukis tatu secara bebas adalah bahagian yang paling mencabar. Saya terpaksa memastikan semuanya berjalan mengikut bentuk badan.

"Saya mahu mencipta ilusi bahawa orang itu memakai kasut, walaupun dia berkaki ayam. Ia pasti akan membuatkan anda kelihatan memukau," katanya.

Menariknya, ini adalah tatu pelik kedua yang dihasilkan Gunther baru-baru ini selepas beberapa minggu lalu menyiapkan hiper-realistik khusus untuk pelanggan yang didakwa tidak mahu membuang masa di pusat kecergasan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 7:00 AM