TENGKU Muhammad Nazmi memegang dua pasang kasut Pharell William.
TENGKU Muhammad Nazmi memegang dua pasang kasut Pharell William.
KOLEKSI kasut yang masih belum dijual dan dijadikan koleksi kesayangannya.
KOLEKSI kasut yang masih belum dijual dan dijadikan koleksi kesayangannya.
ADIDAS Star Wars.
ADIDAS Star Wars.
ADIDAS Zx Flux Xeno.
ADIDAS Zx Flux Xeno.
ADIDAS Yeezy Boost.
ADIDAS Yeezy Boost.
Fatin Farhana Japre

FATIN FARHANA JAPRE tahu kebanyakan remaja gemar mengumpul kasut dan berhabis duit demi mengikut arus fesyen masa kini.

Selain pakaian, rambut dan jam tangan, kasut turut diambil perhatian oleh remaja masa kini untuk tampak bergaya. Tengku Muhammad Nazmi Tengku Kamal Asri, 23, seorang remaja yang ‘gilakan’ kasut berjenama dan edisi terhad.

Meskipun minatnya ini bermula sejak di bangku sekolah menengah, namun pada usia 19 tahun barulah Tengku Muhammad Nazmi mula mengumpul duit dan membeli kasut berjenama seperti Adidas, Pharell William dan banyak lagi koleksi edisi terhad.

Bekerja separuh masa di sebuah butik kasut berjenama terkenal banyak mengajarnya erti nilai sepasang kasut selain sejarah pembuatan kasut itu sendiri.

“Saya masih ingat, pada 2012 saya membeli kasut pertama berjenama Beckenbauer berharga RM150. Sekarang kasut ini tiada lagi di pasaran dan susah nak cari.

“Minat saya ini bukan sekadar hobi kerana selain mengumpul kasut edisi terhad, saya juga menjual koleksi sendiri mengikut bidaan harga pengumpul kasut lain di laman sosial Instagram (@tengku_muhammad_nazmi),” katanya.

Bukan itu saja, obsesinya terhadap kasut menyebabkan Tengku Muhammad Nazmi sanggup membayar wang secara ansuran kepada rakannya demi memiliki sepasang kasut Pharell William berharga RM900 yang tiada di pasaran Malaysia.

“Kebetulan selepas saya menempah kasut itu, arwah pelawak terkenal, Pak Yus juga mahukan kasut sama. Dia selalu datang di butik kasut tempat saya bekerja kerana kami berkongsi hobi sama.

“Dua hari selepas arwah meninggal dunia saya dimaklumkan oleh rakan kasut terbabit sudah tiba di Malaysia. Namun sehingga kini kasut arwah Pak Yus masih tidak dijual kerana ia kenangan buat saya,” katanya.

Menurutnya, setiap bulan dia akan membeli sepasang kasut baharu, tetapi sepasang kasut koleksinya akan dijual untuk dijadikan modal.

“Saya pernah jual sepasang kasut Star Wars dengan harga dua kali ganda, lebih seribu ringgit. Saya suka beli kasut edisi terhad sebab kualitinya sangat baik dan jarang ada di Malaysia.

“Contoh macam kasut Adidas Zx Flux Xeno Reflective edisi terhad saya beli di luar negara dan tidak masuk ke pasaran Malaysia.

“Walaupun lebih RM10,000 modal yang saya habiskan, tetapi saya puas dan gembira. Bila pergi kerja pelanggan tanya mana saya beli kasut, saya saja ada kasut ini,” kata anak ketiga dari empat beradik ini.

Kini, lebih 30 pasang kasut jenama Adidas edisi terhad masih dalam simpanannya. Yang lain sudah dijual dan selepas ini dia mahu mengumpul kasut jenama Nike dan Reebok untuk mempelbagaikan lagi koleksinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 8:40 AM