WAK turut mengambil upah menjahit kasut kanak-kanak.
WAK turut mengambil upah menjahit kasut kanak-kanak.
PERALATAN asas yang digunakan untuk membaiki kasut.
PERALATAN asas yang digunakan untuk membaiki kasut.
SIKAP peramah dan sentiasa tersenyum menyebabkan Wak sentiasa disenangi pelanggannya.
SIKAP peramah dan sentiasa tersenyum menyebabkan Wak sentiasa disenangi pelanggannya.
Fatin Farhana Japre


Jari tercucuk jarum, terhiris pisau dan kaki terpijak paku. Itulah pengalaman menerusi rutin harian tukang kasut, Rizal Ahmad, 60, yang setia membaiki sepatu pelanggannya di Padang Nyiru, Banda Hilir Melaka sejak 23 tahun lalu.

Masih mengekalkan kaedah tradisional dan jahitannya yang 'halus' menyebabkan Rizal atau lebih mesra disapa sebagai Wak sentiasa dicari orang ramai tidak mengira bangsa dari seluruh Melaka.

Tidak pernah lekang dengan senyuman, Wak mengakui tak pernah bosan dengan kerjayanya ini yang sudah memberi pulangan rezeki sejak sekian lama untuk membesarkan sembilan anaknya.

Wak berkata, dia bertukar-tukar pekerjaan lebih lapan kali sebelum belajar membaiki kasut di Johor Bahru.

“Pelbagai pekerjaan saya sudah lakukan seperti operator kilang, nelayan dan buruh binaan tetapi tiada satu pun yang kekal.

“Kebetulan rakan saya mempunyai kedai membaiki kasut dan memerlukan pembantu. Jadi saya mengambil keputusan berhijrah dari Melaka ke Johor Bahru bagi membantunya,” kata anak kelahiran Melaka ini.

Meskipun tidak memiliki kemahiran asas membaiki kasut, Wak tidak cepat melatah dan sanggup belajar sambil bekerja sehingga mahir.

“Saya akui bukan perkara mudah untuk membaiki kasut. Hanya orang yang sabar, teliti dan kreatif saja mampu bertahan lama dalam bidang pekerjaan ini.

“Hampir enam bulan juga masa yang diperlukan untuk betul-betul mahir namun saya bekerja hanya tiga tahun sebelum mengambil keputusan bekerja di kilang FELDA Pasir Gudang, Johor Bahru.

“Selepas itu, saya bertemu jodoh dan pulang ke kampung di Lubok China, Melaka bersama isteri.

“Saya mencari pekerjaan baru dan berjumpa dengan saudara yang mulanya membaiki kasut di pondok ini.

“Saudara saya nak buka gerai cendol, jadi saya minta izin untuk mengambil alih pondok ini dan mempraktikkan kemahiran membaiki kasut yang tersimpan sekian lama,” katanya.

Adat berniaga, permulaan pasti ada keperitan. Itulah situasi yang terpaksa dilalui Wak untuk menagih kepercayaan orang ramai terhadap hasil tangannya membaiki kasut.

Kata Wak, hasil tangannya yang berkualiti, kemas dan upah murah tersebar dari mulut ke mulut.

“Hampir setahun, barulah ramai pelanggan menghantar kasut kepada saya. Bagi saya, bukan hanya kualiti jahitan yang mesti dijaga malah perlu ramah dengan pelanggan.”

“Berkat kesabaran, hasil rezeki membaiki kasut di pondok inilah yang saya gunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga hari ini,” kata anak kelima daripada 11 beradik ini.

Namun begitu, sayangnya kemahiran Wak membaiki kasut secara tradisional tidak diwarisi anak-anaknya kerana masing-masing memilih kerjaya lain.

Proses membaiki kasut memerlukan kreativiti yang tinggi menerusi kerosakan yang pelbagai seperti kulit pecah, tapak tertanggal atau koyak.

Wak menganggap hari paling mencabar apabila dia menerima kasut yang tapaknya tertanggal untuk dibaiki.

Ini kerana tapak kasut ada pelbagai jenis dan sukar dicari seperti tapak getah, getah campuran span atau plastik.

“Saya perlu berfikir pantas untuk memastikan kesesuaian tapak mengikut jenis kasut dan menjahitnya.

“Menjahit tidak ambil masa yang lama tetapi proses selaraskan tapak supaya selari dengan kasut yang rumit.

“Apatah lagi, saya masih menggunakan cara tradisional contohnya mengasah tapak menggunakan kertas pasir sedangkan tukang kasut moden menggunakan mesin.

“Oleh sebab itu, bidang ini perlu ‘kesabaran’ tinggi dan jika berangin memang tidak akan bertahan lama,” katanya.

Meskipun masih menggunakan cara lama, sehari Wak mampu menyiapkan 20 pasang kasut dengan proses menjahit dan menampal dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Kebolehan Wak memang tidak dapat disangkal lagi kerana dia bukan saja boleh membaiki kasut malah beg dan apa saja yang berasaskan jahitan.

“Saya tidak menolak rezeki dan menerima permintaan pelanggan yang mampu saya lakukan.

“Setakat ini, saya sudah membaiki semua jenis kasut termasuk kasut sukan berbasikal dan tinggikan tapak kasut orang kurang upaya.

“Secara jujurnya, saya sangat sayangkan kerjaya ini kerana ia membantu saya membesarkan anak walaupun pendapatan bergantung kepada pelanggan,” katanya.

Lebih menarik, Wak tidak pernah mencatit tempahan dan boleh mengingati kasut serta wajah pelanggannya.

Walaupun berusia, ingatan Wak masih lagi hebat sedangkan setiap hari lebih 30 pelanggan yang menghantar kasut kepadanya.

“Setakat ini, tidak pernah lagi pelanggan mengadu malah mereka memuji jahitan dan tampalan yang kemas.

“Hasil tangan orang veteran katanya!

“Selagi terdaya, saya akan terus membaiki kasut di pondok ini hingga akhir hayat saya,” katanya sambil tersenyum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 3:34 PM