BANGUNAN jabatan polis wilayah Kharkiv terbakar ketika pencerobohan tentera Rusia di Ukraine memasuki hari ketujuh. FOTO AFP
BANGUNAN jabatan polis wilayah Kharkiv terbakar ketika pencerobohan tentera Rusia di Ukraine memasuki hari ketujuh. FOTO AFP
AFP

Kyiv: Askar payung terjun Rusia sudah mendarat di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine, ketika pencerobohan Rusia masih belum reda dan memasuki hari ketujuh.

Tentera Ukraine mendakwa seterusnya tentera Rusia menyerang sebuah hospital di bandar itu.

Kharkiv sebelum ini menjadi tempat seorang pelajar India terbunuh pada hari Selasa ketika serangan dilakukan oleh tentera Rusia.

"Tentera udara Rusia mendarat di Kharkiv dan menyerang hospital tempatan. Terdapat pertempuran yang berterusan," tentera Ukraine dipetik AFP.

Ketua Wilayah Kharkiv, Oleg Synegubov pada Selasa memberitahu serangan peluru berpandu Rusia menyerang pusat bandar termasuk kawasan perumahan dan bangunan pentadbiran.

Kharkiv, sebuah bandar yang sebahagian besar penduduknya berbahasa Rusia, terletak berhampiran sempadan Rusia dan mempunyai populasi sekitar 1.4 juta penduduk.

Ia menjadi sasaran tentera Rusia sejak Presiden Vladimir Putin melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine Khamis lalu.

Lebih 350 orang awam dilaporkan menjadi mangsa setakat ini, termasuk sekurang-kurangnya 14 kanak-kanak.

Sementara itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengesahkan lebih 1,600 individu turut cedera akibat serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 4:39 PM