BOMBA dikejarkan ke lokasi kebakaran sebuah bangunan di Kharkiv, selepas ia didakwa dibom tentera Rusia. FOTO AFP
BOMBA dikejarkan ke lokasi kebakaran sebuah bangunan di Kharkiv, selepas ia didakwa dibom tentera Rusia. FOTO AFP
AFP

Kyiv: Tentera Rusia membedil beberapa bandar Ukraine pada Rabu ketika pertempuran di jalan raya di Kharkiv dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh Moscow mahu memusnahkan negaranya.

Rusia mengesahkan sudah menawan pelabuhan Laut Hitam, Kherson pada hari ketujuh pencerobohan Moscow, manakala artileri Rusia berkumpul di luar Kyiv hingga menimbulkan kebimbangan ada serangan yang akan berlaku.

Menurut pihak berkuasa Ukraine, beberapa mangsa dilaporkan terbunuh oleh tembakan di selatan dan timur Ukraine, menambah jumlah kematian orang awam sekurang-kurangnya 350 individu, termasuk 14 kanak-kanak.

Rusia mengingkari sekatan ekonomi dan diplomatik besar dan pengasingan global yang semakin meningkat untuk meneruskan ke pro-Barat Ukraine, di mana tenteranya menghadapi tentangan sengit.

Kesan pengeboman Rusia jelas kelihatan di pasar dan kawasan perumahan di Zhytomyr, kira-kira 150 kilometer dari Kyiv, dan di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine.

"Tiada tempat di Kharkiv yang menunjukkan belum diserang peluru," kata Anton Gerashchenko, penasihat Menteri Dalam Negeri Ukraine, selepas tentera payung terjun Rusia mendarat di bandar itu sebelum subuh.

Di Kyiv, Datuk Bandar Vitali Klitschko berkata musuh sedang menyusun pasukan lebih dekat ke ibu negara.

"Kyiv bertahan dan akan bertahan. Kami akan bertarung," tambah bekas juara tinju itu.

Puluhan keluarga dilihat berlindung pada hari Rabu di stesen metro Dorohozhychi.

"Apa yang berlaku kepada kita di bawah ini apabila makanan habis? Adakah kita cuba untuk keluar dan berlari?" kata Volodymyr Dovgan, seorang jurutera teknologi maklumat (IT) berusia 40 tahun.

Kremlin berkata, delegasi Rusia akan bersedia untuk bertemu pegawai Ukraine di lokasi yang tidak didedahkan pada Rabu berikutan tekanan masyarakat antarabangsa terhadap Rusia untuk menghentikan konflik.

Seorang anggota delegasi Ukraine, David Arahamia berkata, akan ada rundingan tetapi tidak menyatakan tempat, tarikh atau masa.

Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba berkata, Ukraine tidak akan mendengar tuntutan Rusia.

Rundingan awal pada Isnin antara Rusia dan Ukraine gagal membuahkan sebarang kejayaan.

Dalam ucapan video pada Rabu, PZelensky berkata tentera Rusia mahu ''memusnahkan negara dan kita semua."

Pemimpin itu berkata, serangan pada Selasa ke atas tiang pemancar stesen televisyen di ibu kota Kyiv menunjukkan ancaman Rusia terhadap identiti Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 10:22 AM