FOTO pada 26 Februari menunjukkan keadaan kereta kebal Rusia yang sudah roSak di luar Kharkiv.  FOTO AFP
FOTO pada 26 Februari menunjukkan keadaan kereta kebal Rusia yang sudah roSak di luar Kharkiv. FOTO AFP
AFP

Kyiv: Tentera Rusia memasuki bandar kedua di Ukraine, Kharkiv, dan pertempuran sedang berlangsung pada Ahad, kata ketua pentadbiran wilayah pada hari keempat pencerobohan Moscow ke atas negara pro-Barat itu.

AFP melaporkan, ketika pertempuran sedang memuncak di Kharkiv, pentadbiran bandar di Kyiv, 400 kilometer ke barat iaitu ibu kota kekal sepenuhnya di bawah kawalan tentera Ukraine walaupun berlaku pertempuran dengan 'kumpulan sabotaj'.

"Kenderaan ringan Rusia memasuki bandar Kharkiv.

"Angkatan bersenjata Ukraine sedang menghapuskan musuh," kata gabenor Kharki, Oleg Sinegubov dalam catatan Facebook, sambil menggesa penduduk supaya tidak meninggalkan tempat perlindungan.

Kementerian pertahanan Rusia mendakwa bahawa tenteranya mengepung bandar Kherson di selatan Ukraine dan bandar Berdyansk di tenggara.

"Sepanjang 24 jam lalu, bandar Kherson dan Berdyansk disekat sepenuhnya oleh angkatan tentera Rusia," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia Igor Konashenkov dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tentera Rusia juga menguasai Genichesk, sebuah bandar pelabuhan di sepanjang Laut Azov, dan sebuah lapangan terbang berhampiran Kherson.

Setakat Ahad, tentera Rusia berkata, pihaknya memusnahkan 975 kemudahan tentera di Ukraine dan menembak jatuh lapan jet pejuang, tujuh helikopter dan 11 dron.

Konashenkov mendakwa bahawa askar Ukraine meletakkan senjata "beramai-ramai."

Dia mendakwa pada Sabtu, tentera rejimen peluru berpandu pertahanan udara berhampiran Kharkiv "secara sukarela" meletakkan senjata mereka, sambil menambah bahawa lebih daripada 470 askar Ukraine ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 4:23 PM