IBU pejabat WHO di Geneva. FOTO AFP
IBU pejabat WHO di Geneva. FOTO AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dan menyelidik asal usul wabak dan pandemik.

WHO pada Rabu memaklumkan, pasukan terdiri beberapa saintis itu akan menyelidik patogen baharu dan mencegah kemunculan pandemik pada masa hadapan selain menyiasat semula asal usul Covid-19.

Pasukan itu terdiri daripada 26 pakar akan ditugaskan untuk menghasilkan kerangka kajian global baharu mengenai asal usul patogen baharu yang berpotensi menyebarkan wabak dan pandemik termasuk mengkaji virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19.

Selain krisis Covid-19, semakin banyak patogen berisiko tinggi wujud atau muncul kembali dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk MERS, virus selesema burung, Lassa, Marburg dan Ebola.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pasukan itu ditubuhkan bagi mencari punca Covid-19 serta menghalang kemunculan wabak atau pandemik lain pada masa hadapan.

"Kemunculan virus baharu yang berpotensi mencetuskan wabak dan pandemik adalah satu yang nyata dan SARS-CoV-2 adalah virus terbaru (pasti) ia tidak akan menjadi yang terakhir.

"Memahami dari mana asal usul patogen baharu itu sangat penting untuk mencegah wabak pada masa depan," katanya.

WHO pada awal tahun ini mengumumkan, mereka akan menubuhkan Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Asal Usul Patogen Baharu (Sago).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 10:18 AM