SUSPEK menghalakan busur silang berkenaan ke arah polis. FOTO Agensi
SUSPEK menghalakan busur silang berkenaan ke arah polis. FOTO Agensi
Agensi

Amsterdam: Seorang lelaki di Belanda nekad melepaskan anak panah menggunakan busur silang (crossbow) sebagai cubaannya untuk menakutkan polis.

Daily Star melaporkan, insiden itu berlaku selepas polis bergegas ke lokasi kejadian tikaman di sebuah bangunan kediaman di bandar Almelo, Jumaat lalu.

Video yang tular di media sosial menunjukkan suspek berusia 28 tahun itu tidak memakai baju dan memegang busur silang di balkoni di tingkat tiga bangunan berkenaan.

Dia dilihat tiba-tiba melepaskan anak panah ke arah bawah.

Pegawai polis yang berada jauh dari bangunan itu melihat suspek menjerit dan menghalakan busur silang itu ke udara.

Lelaki itu kemudian kembali ke dalam flat sebelum dia ditahan polis, tidak lama selepas itu.

Polis Belanda mengesahkan dua individu maut dan seorang lagi iaitu mangsa ketiga cedera pada kejadian berkenaan.

Terdahulu, pada pagi hari sama, polis memuat naik hantaran (posting) di Twitter berhubung insiden berkenaan.

Selain itu, polis memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak menghampiri lokasi kejadian.

"Situasi di sana tidak selamat buat masa ini. Jadi jangan datang ke lokasi .

"Pada kejadian tikaman di Mth Steynstraat di #Almelo, dua maut.

"Mangsa ketiga cedera. Seorang suspek ditangkap dan cedera.

"Siasatan polis selanjutnya sedang dijalankan," menurut hantaran di media sosial berkenaan.

Darurat "GRIP-3" juga diisytiharkan, yang memungkinkan perkhidmatan kecemasan bekerjasama dengan lebih dekat untuk bertindak balas terhadap kejadian itu kerana ada ancaman kepada orang awam

Menerusi kenyataan media yang dikemas kini kemudian, polis mengesahkan suspek sebagai lelaki berusia 28 tahun terlatih dalam pelbagai seni mempertahankan diri sudah ditangkap dan dibawa ke hospital.

Dua individu mati ditemui di flat yang menjadi tempat suspek menetap dengan siasatan terhadap identiti mangsa masih dijalankan.

Almelo, bandar yang didiami 73,000 penduduk, terletak kira-kira 150 kilometer (km) di timur Amsterdam dan berhampiran dengan sempadan Belanda dan Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 6:45 AM