TANGKAP layar anjing dan kejadian memanah tersebut. FOTO Ihsan Facebook SAFM
TANGKAP layar anjing dan kejadian memanah tersebut. FOTO Ihsan Facebook SAFM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kejam. Itu perkataan tepat bagi menggambarkan tindakan seorang lelaki apabila tergamak membunuh anjing terbiar dengan menembaknya dengan anak panah.

Kejadian yang dikatakan berlaku di satu kawasan di Setapak, Wangsa Maju di sini, pada Rabu itu dirakam seorang individu dan turut dikongsi oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi 23 saat itu, kelihatan seorang lelaki memegang panah sebelum beberapa kali melepaskan anak panah ke arah anjing.

SAFM dalam kenyataan bersama video yang dikongsi di Facebook memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu.

"Menurut video yang dihantar, suspek kelihatan mengambil busur dan anak panah sambil mengekori seekor anjing terbiar.

"Suspek tanpa membuang masa menembak anjing malang itu apabila dia mempunyai peluang. Anjing ini didapati mati dengan anak panah masih tertanam dalam mukanya," kata SAFM.

SAFM meminta saksi kejadian untuk tampil supaya pesalah yang melakukan perbuatan zalim itu boleh ditangkap dan didakwa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tiada laporan polis diterima setakat ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis kini sedang berusaha mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 4:50 PM