Istana Windsor. FOTO AFP.
Istana Windsor. FOTO AFP.
Agensi

London: Polis menahan penceroboh Istana Windsor yang membawa busur silang pada Sabtu, ketika Ratu Elizabeth II sedang bersiap untuk sambutan Krismas.

Baginda bersiap untuk menyambut Putera Charles dan Putera Edward ketika pihak keselamatan menaikkan amaran 'kecemasan peringkat tinggi'.

Seorang lelaki melanggar perimeter keselamatan, tetapi detektif memaklumkan penceroboh itu berjaya ditahan sebelum memasuki bangunan.

Lelaki itu berusia 19 tahun, dengan sumber keselamatan mengesahkan kepada Sunday Mirror bahawa dia membawa busur silang ketika diberkas.

"Pengawal keselamatan yang memantau CCTV juga tidak percaya apabila melihat lelaki itu membawa sesuatu yang rupanya busur silang dan bergegas ke tempat kejadian.

"Pelan perlindungan berskala penuh dilaksana untuk memastikan keselamatan Ratu.

"Ia adalah tindakan profesional daripada semua pihak tetapi melihat pencerobohan dengan senjata bahaya itu adalah amat membimbangkan," kata sumber.

Krismas ini sambutan pertama Ratu Elizabeth II di Istana Windsor tanpa Putera Philip yang meninggal dunia, April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 1:44 PM