FOTO pada 10 November menunjukkan suasana di depan wad kecemasan Hospital Al-Shifa . FOTO AFP
FOTO pada 10 November menunjukkan suasana di depan wad kecemasan Hospital Al-Shifa . FOTO AFP
Agensi

Gaza: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu pihaknya terputus komunikasi dengan Hospital Al-Shifa di sini.

Lebih membimbangkan, apabila hospital itu sebelum ini dilapor berdepan beberapa serangan bertali arus oleh rejim zionis.

WHO dalam pada itu turut mengesyaki kenalan mereka di dalam hospital malang itu bersama puluhan ribu warga Palestin sudah berpindah keluar.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa mereka bekerjasama dengan Hospital Al-Shifa untuk memindahkan pesakit sebaik dua bayi pramatang dilaporkan meninggal dunia selepas terputus bekalan elektrik.

Tentera rejim dilapor menghubungi pihak berkuasa tempatan Gaza untuk memaklumkan ke mana rakyat Palestin boleh berpindah, selain turut menyelaras perpindahan secara selamat.

Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya memberitahu Al Jazeera, selain dua bayi pramatang meninggal dunia, manakala sebilangan bayi yang baru lahir kini berada dalam keadaan yang tidak stabil ekoran kekurangan inkubator.

Abu Salmiya dalam pada itu menafikan tentera Israel ada menawarkan bantuan pemindahan bayi walaupun ada cubaan untuk mengatur pemindahan ke fasiliti perubatan yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 11:43 AM