DR ADNAN Al-Bursh. FOTO X/@ALQUDS_TF
DR ADNAN Al-Bursh. FOTO X/@ALQUDS_TF
Reuters

Baitulmaqdis: Seorang doktor kanan Palestin meninggal dunia di penjara Israel selepas lebih empat bulan ditahan rejim itu.

Dua persatuan banduan Palestin menyalahkan Israel atas kematian lelaki itu.

Persatuan itu dalam satu kenyataan bersama mendakwa, Adnan Al-Bursh, ketua ortopedik di Hospital Al-Shifa, kemudahan perubatan terbesar di Gaza, ditahan tentera Israel ketika bekerja sementara di Hospital Al-Awada di utara Gaza.

Mereka menyifatkan kematiannya sebagai pembunuhan dan mengesahkan mayat doktor itu masih berada dalam tahanan Israel.

Pada 19 April lalu, perkhidmatan penjara Israel mengeluarkan kenyataan, seorang banduan ditahan atas alasan keselamatan negara, meninggal dunia di penjara Ofer, tetapi tidak memberikan butiran mengenai punca kematian.

Jurucakap perkhidmatan penjara mengesahkan, kenyataan itu merujuk kepada Adnan dan kejadian itu sedang disiasat.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, kematian Adnan menjadikan jumlah kakitangan sektor perubatan yang dibunuh oleh Israel sejak 7 Oktober lalu meningkat kepada 496 orang, manakala 1,500 yang lain cedera serta 309 ditangkap.

Khamis lalu, pihak berkuasa Israel membebaskan 64 rakyat Palestin yang ditahan semasa serangan tentera mereka di Gaza, melalui lintasan Kerem Shalom yang dikawal Israel, kata agensi sempadan dan lintasan Palestin.

"Seorang lagi tahanan yang dibebaskan tiba dalam keadaan kritikal dan dipindahkan ke hospital sebaik tiba," kata agensi itu.

Persatuan banduan pula mendakwa, salah seorang daripada mereka ialah mayat seorang lagi lelaki yang meninggal dunia dalam tahanan.

"Dua kematian baharu itu menjadikan jumlah penduduk Gaza yang mati dalam tahanan Israel kepada sekurang-kurangnya 18 sejak permulaan perang.

"Kami menggesa pihak berkuasa Israel mendedahkan jumlah, lokasi dan nasib tahanan dari Gaza," katanya.

Kumpulan perubatan termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia, berulang kali menyeru untuk menghentikan serangan ke atas pekerja penjagaan kesihatan Gaza, dengan lebih daripada 200 terbunuh setakat ini dalam konflik Gaza, menurut anggaran Insecurity Insight.

Puluhan rakyat Palestin yang dibebaskan Israel dalam beberapa bulan lalu termasuk beberapa kakitangan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadu menerima layanan buruk semasa tahanan termasuk penyeksaan dan kekurangan makanan dan tidur.

Setakat 4 April lalu, agensi Pelarian Palestin PBB merekodkan pembebasan 1,506 orang termasuk 43 kanak-kanak dan 84 wanita yang ditahan pihak berkuasa Israel, melalui persimpangan Kerem Shalom .

Israel menuduh Hamas menggunakan hospital untuk tujuan ketenteraan dan mengatakan operasinya terhadap mereka dibenarkan dengan kehadiran pejuang Hamas.

Hamas dan kakitangan perubatan menafikan dakwaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 10:35 AM