R Selvarajah, diiringi pegawai SPRM untuk membayar jaminan selepas didakwa memberi rasuah RM3,000 kepada seorang lelaki. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
R Selvarajah, diiringi pegawai SPRM untuk membayar jaminan selepas didakwa memberi rasuah RM3,000 kepada seorang lelaki. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pengurus pejabat firma guaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan merasuah seorang lelaki sebanyak RM3,000 bagi membuat laporan polis palsu untuk tuntutan insurans berkaitan kes kemalangan, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, R Selvarajah, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elisabet Paya Wan terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada Abdul Karim Mohamad sebagai dorongan untuknya membuat laporan polis palsu bertarikh 11 Mei 2017.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Melaka Raya 12, Taman Melaka Raya, di sini, antara 10 Mei hingga 31 Mei 2017.

Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohammad Ali mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Menurutnya, pihaknya juga memohon syarat tambahan iaitu tertuduh dikehendaki melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam A Rengganathan Abdullah memohon jaminan rendah terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh hanya bekerja sebagai kerani dengan gaji RM3,200 sebulan.

Menurutnya, selain itu tertuduh juga menanggung perbelanjaan perubatan isterinya yang menghidap kanser selain seorang anak yang menuntut di sebuah universiti.

Katanya, anak guamnya juga memberikan kerjasama penuh untuk siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 berserta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan dan menetapkak sebutan semula kes pada 13 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 11:28 AM