ISRAEL mengumumkan mengesan nyamuk membawa virus Nil Barat. FOTO fail AFP.
ISRAEL mengumumkan mengesan nyamuk membawa virus Nil Barat. FOTO fail AFP.
Bernama-Xinhua

Baitulmaqdis: Kementerian Kesihatan dan Perlindungan Alam Sekitar Israel mengumumkan pada Jumaat pengesanan nyamuk yang membawa virus Nil Barat di Majlis Wilayah Sharon Selatan, yang terletak berhampiran sempadan Tebing Barat.

Majlis itu, yang merangkumi 31 kampung dan penempatan, telah diarahkan untuk mempergiatkan pemantauan nyamuk dan melaksanakan langkah-langkah pemusnahan segera di kawasan terjejas, menurut kenyataan bersama kementerian, lapor Xinhua.

Orang ramai juga digesa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan termasuk menghapuskan sumber air bertakung di sekitar rumah dan menggunakan langkah perlindungan daripada gigitan nyamuk.

Pengumuman itu dibuat selepas dua kes virus Nil Barat disahkan di Israel tahun ini, dengan satu daripadanya mengakibatkan kematian.

Virus Nil Barat, yang kebanyakannya disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk, biasanya menyebabkan gejala seperti selesema. Ini termasuk sakit kepala, demam, lemah, sakit otot dan sendi, konjunktivitis, ruam dan kadang-kadang loya atau cirit-birit.

Kira-kira 1 dalam 150 orang yang dijangkiti akan mengalami penyakit serius yang menjejaskan sistem saraf pusat seperti ensefalitis atau meningitis, menyebabkan lumpuh, kerosakan otak dan bahkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 12:37 PM