INFLUENZA menjangkiti saluran pernafasan. - FOTO Pexels
INFLUENZA menjangkiti saluran pernafasan. - FOTO Pexels
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Bilangan patogen berpotensi di seluruh dunia sangat tinggi, tetapi sumber untuk penyelidikan dan pembangunan penyakit adalah terhad.

Patogen ialah mikroorganisma berbahaya seperti virus, bakteria, kulat dan protozoa yang boleh menyebabkan penyakit mengakibatkan kematian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membuat senarai penyakit yang paling membimbangkan.

Ada lima jenis penyakit dalam pemerhatian ahli epidemiologi kerana berpotensi mencetuskan wabak seterusnya selepas Covid-19.

1. Coronavirus lain

Dua penyakit dalam senarai rangka tindakan baharu (blueprint) WHO 2018 iaitu penyakit Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) menjadi wabak serius selama dua dekad.

Umum mengetahui apa yang berlaku pada 2020 dan tidak mustahil pandemik seterusnya boleh menjadi Coronavirus lain.

WHO melaporkan bahawa Covid-19 'membunuh' 10,000 orang sebulan. Bagaimanapun, hanya beberapa negara melaporkan kematian.

2. Demam berdarah Crimean-Congo (CCHF)

Disebabkan virus bawaan kutu (nairovirus) dan virus ini menjangkiti manusia melalui gigitan kutu atau kontak dengan darah haiwan dijangkiti.

Gejala awal termasuk demam, pening, sakit kepala, mual, muntah, cirit-birit dan kekeliruan.

Selepas dua hingga empat hari, gejala lebih teruk yang mana pesakit menjadi lesu, pembesaran hati, ruam teruk dan pendarahan daripada membran mukus.

Kira-kira 30 peratus daripada pesakit yang dijangkiti meninggal dunia.

DIJANGKA tercetus coronavirus lain. - FOTO Pexels
DIJANGKA tercetus coronavirus lain. - FOTO Pexels

ZIKA merebak melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti virus. - FOTO Pexels
ZIKA merebak melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti virus. - FOTO Pexels

3.Influenza

Ia adalah penyakit yang menjangkiti saluran pernafasan. Malah ia boleh menyebabkan gejala jangkitan ringan juga serius.

Virus influenza yang menjangkiti hidung, tekak dan ada kala paru-paru, menyebabkan demam teruk, sakit otot atau badan, sakit kepala, keletihan dan gejala lain.

Penyakit itu mengorbankan sehingga 650,000 nyawa di seluruh dunia setiap tahun.

4. Zika

Pertama kali dikenal pasti di Uganda pada 1947. Penyakit ini disebabkan virus bawaan nyamuk yang merebak daripada haiwan ke manusia.

Bahayanya penyakit itu ialah jangkitan ketika kehamilan boleh menyebabkan bayi dilahirkan mengalami 'microcephaly (lebih kecil daripada saiz kepala biasa) dan kecacatan kongenital yang lain.

Virus ini juga dikaitkan dengan sindrom Guillain-Barr, neuropati dan myelitis pada orang dewasa serta kanak-kanak.

5. Penyakit X

Baru-baru ini, saintis memberi amaran bahawa virus purba yang dibekukan di Artik 'dibebaskan' kerana ais mencair boleh menyebabkan pandemik.

Penyelidik sudah mengasingkan beberapa virus 'zombie' yang menunjukkan ia wujud.

Pada masa sama, penyelidik turut merancang membangunkan rangkaian pemantauan Artik untuk mengesan penyakit yang disebabkan mikroorganisma purba sebaik sahaja ia muncul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 6:47 AM