WANITA menutup mukanya sambil berjalan di kedai menjual alat penyejuk udara di Varanasi, Uttar Pradesh. FOTO AFP.
WANITA menutup mukanya sambil berjalan di kedai menjual alat penyejuk udara di Varanasi, Uttar Pradesh. FOTO AFP.
Agensi

New Delhi: Suhu panas melampau di India menyebabkan seorang buruh maut akibat strok haba.

Menurut akhbar Indian Express yang dipetik Al Jazeera, semalam, buruh yang maut itu berusia 40 tahun dari New Delhi.

India berhadapan cuaca ekstrem yang memberi impak besar di seluruh negara, dengan suhu di New Delhi catat rekod tertinggi iaitu 52.9 darjah Celsius pada Rabu, di kawasan kejiranan Mungeshpur.

Memetik Reuters, bacaan itu mungkin berubah namun suhu maksimum di bandar lain direkod antara 45.2 ke 49.1 darjah Celsius.

Disebabkan peningkatan suhu, Leftenan Gabenor New Delhi, Vinai Kumar Saxena pada Rabu menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk melindungi buruh dengan peraturan seperti menyediakan air dan kawasan teduh di tapak pembinaan, selain cuti berbayar buat pekerja pada tengah hari hingga 3 petang.

Pengarah institut penyelidikan Climate Trends, Aarti Khosla memberitahu AFP bahawa kawasan bandar lebih terdedah kepada panas melampau akibat kesan kompaun urbanisasi dan perubahan iklim.

"Jangkakan bilangan hari yang lebih panas, musim kemarau yang berpanjangan dan hujan yang kurang kerana corak cuaca terus berubah akibat peningkatan pelepasan manusia," katanya.

Tahun lalu, berpuluh-puluh orang maut di negeri Uttar Pradesh di utara India akibat cuaca panas yang melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 12:46 PM