Reuters

Tehran: Presiden Iran Ebrahim Raisi dan menteri luarnya maut apabila helikopter dinaiki mereka terhempas ketika melintasi kawasan pergunungan dalam kabus tebal, kata seorang pegawai Iran kepada Reuters pada Isnin selepas pasukan mencari menemui serpihan itu.

"Helikopter Presiden Raisi terbakar sepenuhnya dalam nahas itu... malangnya, semua penumpang dikhuatiri maut," kata pegawai itu kepada Reuters.

Pasukan penyelamat berdepan kesukaran kerana berdepan ribut salji sepanjang malam untuk sampai ke lokasi serpihan di wilayah Azerbaijan Timur pada awal pagi Isnin.

"Kami dapat melihat bangkai pesawat dan keadaan tidak kelihatan baik," kata ketua Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Kolivand, kepada TV kerajaan.

"Dengan penemuan lokasi nahas, tiada tanda-tanda kehidupan dikesan dalam kalangan penumpang helikopter itu."

Gambar yang diambil dari video dirakam Palang Merah Iran menunjukkan lokasi helikopter yang membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi. - FOTO AFP
Gambar yang diambil dari video dirakam Palang Merah Iran menunjukkan lokasi helikopter yang membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi. - FOTO AFP

Media kerajaan Iran berkata imej dari laman web itu menunjukkan helikopter itu terhempas di puncak gunung, walaupun belum ada sebarang kata rasmi mengenai punca nahas itu.

Terdahulu, media melaporkan sebuah helikopter membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi dan pegawai kanan di barat laut Iran dilaporkan terhempas.

Raisi sedang dalam penerbangan pulang daripada satu majlis untuk merasmikan sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan.

Helikopter dinaikinya itu dipercayai terhempas ketika hendak mendarat di Wilayah Varzaqan pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 12:18 PM