GAMBAR fail Kami Rita yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 23 Mei tahun  lalu, untuk rekod ke-28. FOTO AFP
GAMBAR fail Kami Rita yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 23 Mei tahun lalu, untuk rekod ke-28. FOTO AFP
AFP

Kathmandu: Pendaki Nepal, sherpa Kami Rita berjaya menawan puncak Gunung Everest buat kali ke-29 hari ini sekali gus memecahkan rekod dunia yang juga rekodnya sendiri.

Penganjur ekspedisi dari Seven Summit Treks, sherpa Mingma mengesahkan rekod terbaharu dicipta Kami Rita.

"Kami Rita mencapai puncak pagi ini. Kini dia mencipta rekod baharu dengan 29 puncak Everest," katanya kepada AFP.

Berpengalaman sebagai malim gunung atau sherpa selama dua dekad, Kami Rita juga dikenali 'Everest Man', pertama kali mendaki puncak 8,849 meter pada 1994 ketika bekerja untuk ekspedisi komersial.

Sejak itu, dia mendaki Everest hampir setiap tahun, membimbing pendaki ke puncak tertinggi di dunia itu.

Minggu lalu, Kami Rita berkongsi misinya menawan puncak itu menerusi laman Instagram miliknya.

"Kembali lagi untuk sidang kemuncak ke-29 ke puncak dunia... misi seorang lelaki, impian lelaki dan wanita lain," tulisnya.

Tahun lalu, Kami Rita mendaki Everest dua kali untuk merampas semula rekodnya yang berjaya dicabar, sherpa Pasang Dawa yang menyamai jumlah pendakiannya.

Kami Rita , 54, sebelum ini berkata, dia hanya bekerja dan tidak merancang untuk mencipta rekod.

Dia juga menakluki puncak 8,000 meter yang mencabar termasuk gunung kedua tertinggi di dunia, K2 di Pakistan.

Tahun ini, Nepal mengeluarkan 414 permit Everest kepada pendaki gunung untuk musim pendakian musim bunga yang berlangsung dari April hingga awal Jun ini.

Kebanyakan pendaki Everest diiringi malim Nepal, bermakna lebih 800 pendaki akan melalui laluan ke puncak tertinggi dunia itu dalam beberapa minggu akan datang selepas sekumpulan pendaki Nepal membuka laluan ke puncak, Jumaat lalu.

Tahun lalu, lebih 600 pendaki berjaya mendaki puncak Everest, namun ia juga musim paling dahsyat apabila merekodkan 18 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 2:20 PM