TSANG Yin-Hung ketika tiba di puncak Everest. FOTO Agensi
TSANG Yin-Hung ketika tiba di puncak Everest. FOTO Agensi
AFP

Kathmandu: Pendaki kelahiran Hong Kong, Tsang Yin-Hung mencipta rekod dunia apabila menjadi wanita terpantas menakluk Gunung Everest iaitu dalam tempoh kurang 26 jam.

Perkara itu disahkan seorang jurucakap rasmi di Nepal, Khamis lalu.

Kejayaan Tsang, 44, memadam rekod dipegang oleh pendaki dari Nepal, Phunji Jhangmu Lama yang menakluk Gunung Everest dengan catatan masa 39 jam enam minit.

Pegawai Perhubungan kerajaan di Kem Pangkalan Everest (EBC), Gyanendra Shrestha berkata, Tsang melakukan pendakian setinggi 8,846.86 meter dengan catatan masa 25 jam, 50 minit pada 23 Mei lalu.

"Dia (Tsang) bergerak dari EBC pada jam 1.20 tengah hari dan tiba di puncak 3.10 petang hari berikutnya," kata Shrestha kepada AFP.

Bagaimanapun, Tsang masih perlu menunjukkan bukti kejayaannya kepada Guinness World Records untuk menerima sijil pengiktirafan atas pencapaiannya.

Ini kerana Kerajaan Nepal dilaporkan memaklumkan pendaki terbabit sudah mencapai puncak, tetapi pihak berkenaan masih belum mengeluarkan sijil pengiktirafan.

Tsang dan pasukan ekspedisinya yang ketika itu dalam perjalanan ke Kathmandu belum memberi ulasan berhubung perkara itu.

Menurut rekod, Tsang pernah menjadi wanita Hong Kong pertama yang menakluk banjaran Himalaya pada 2017 dan misi pendakian mencipta rekod dunia kali ini adalah percubaan ketiganya.

Tahun lalu, aktiviti pendakian di Gunung Everest tidak dibenarkan dan terpaksa dihentikan sementara waktu kerana pandemik Covid-19

Pada musim mendaki tahun ini, Kerajaan Nepal dilaporkan memberi kebenaran kepada 408 pendaki untuk melakukan pendakian.

Bahagian Pelancongan Nepal memaklumkan, tidak kurang dari 350 individu sudah mendaki Gunung Everest pada musim bunga ini meskipun negara itu sedang mengalami lonjakan kes Covid-19.

Dalam pada itu, beberapa rekod di Everest turut diperbaharui pada musim mendaki kali ini termasuk jurupandu Nepal, Kami Rita yang menakluk puncak gunung itu untuk kali ke-25.

Selain itu, Arthur Muir, 75, menjadi rakyat Amerika Syarikat (AS) paling tua yang tiba di puncak tertinggi dunia, mengatasi rekod Bill Burke, yang menakluk puncak gunung itu ketika berusia 67 tahun pada 2009.

Sementara itu, empat orang iaitu dua pendaki warga asing dan dua jurupandu berbangsa Sherpa meninggal dunia di gunung itu pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:30 AM