GARRETT Madison (kiri). FOTO Instagram Garrett Madison
GARRETT Madison (kiri). FOTO Instagram Garrett Madison
Reuters

Kathmandu: Seorang malim gunung terkenal Amerika Syarikat (AS), berjaya menawan tiga puncak di rantau Gunung Everest iaitu puncak Gunung Everest, Gunung Lhotse dan Gunung Nuptse dalam satu musim, tahun ini.

Ishwari Paudel dari syarikat Himalaya Guides berkata, Garrett Madison, 44, mendaki Gunung Lhotse, puncak keempat tertinggi dunia pada ketinggian 8,516 meter (m) Khamis lalu, sehari selepas dia selesai misi pendakian ke-13 di Gunung Everest (8,849 m).

Katanya, Madison yang memiliki syarikat Madison Mountaineering yang berpangkalan di Seattle, kemudian mendaki puncak lebih kecil, Gunung Nuptse, namun secara teknikalnya lebih sukar dengan ketinggian 7,855 m, pada 8 Mei lalu.

"Memang amat sukar untuk mendaki ketiga-tiga puncak dalam satu musim.

"Hanya beberapa pendaki gunung saja mampu melakukannya," katanya.

Katanya, Madison ditemani tiga pendaki sherpa semasa menawan ketiga-tiga puncak itu.

Sementara itu, Madison menerusi kenyataan dalam laman web syarikatnya berkata, dia berbangga dengan pasukan terbabit hingga mampu meraih pencapaian luar biasa itu

SETAKAT ini, 12 pendaki sudah disahkan terkorban di Gunung Everest pada musim pendakian pada tahun ini. FOTO Reuters
SETAKAT ini, 12 pendaki sudah disahkan terkorban di Gunung Everest pada musim pendakian pada tahun ini. FOTO Reuters

Pendaki Britain, Kenton Cool, yang mendaki tiga puncak itu pada 2013, menyifatkan Madison sebagai ketua ekspedisi yang tidak dapat diganggu gugat dan bekerja keras.

Minggu lalu, Cool, 49, mencipta rekod baharu iaitu berjaya tiba di puncak Everest untuk kali ke-17, sekali gus rekod terbanyak untuk pendaki asing.

Malim gunung Nepal, Kami Rita mendaki Everest untuk kali ke-28 pada minggu ini, iaitu paling banyak dilakukan bagi mana-mana pendaki.

Sementara itu, pegawai pelancongan Nepal, Khim Lal Gautam mengumumkan, seorang lagi pendaki Kanada, Petrus Albertyn Swart, 63, meninggal dunia dalam zon kematian ketika cuba menawan puncak Everest.

Kematiannya menjadikan jumlah mangsa setakat ini kepada 12 orang.

Sekurang-kurangnya dua pendaki lain masih hilang atau tidak dapat dihubungi.

Mereka ialah pendaki Singapura, Shrinivas Sainis Dattatraya dan pendaki Malaysia yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hasim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 1:23 PM