ILUSTRASI sinar hijau di langit. FOTO Reuters
ILUSTRASI sinar hijau di langit. FOTO Reuters
Agensi

Jakarta: Cahaya kilat misteri berwarna hijau menghiasi langit Yogjakarta yang jelas dilihat oleh penduduk pada Sabtu lalu disyaki meteor atau tahi bintang yang jatuh ke bumi.

Portal detikTravel melaporkan ahli astronomi yang juga Timbalan Setiausaha Institut Falakiyah Indonesia Marufin Sudibyo berkata daripada hasil pemerhatian, meteor itu tidak menghasilkan bunyi atau ledakan sonik.

Menurutnya, berdasarkan data pemantauan, meteor itu mempunyai magnitud antara -6 hingga -7.

"Ini bermakna pada kemuncaknya meteor yang terang ini adalah 20 kali lebih cerah daripada Zuhrah.

"Mengenai warna hijau pada ekor meteor, terdapat petunjuk kepekatan nikel yang tinggi dan disyaki meteor ini adalah serpihan asteroid.

"Kejadian ini agak lumrah dalam dunia astronomi. Ini adalah perkara biasa berlaku setiap 200 jam secara purata di seluruh dunia.

"Implikasi ke atas bumi tidak wujud kerana planet ini sudah biasa menerima hujan meteor secara purata 44 tan sehari," katanya.

Beliau juga mengesahkan, meteor itu bukanlah Eta Aquarid menghujani bumi pada 5 dan 6 Mei.

"Oleh kerana trajektorinya dari selatan dan boleh dilihat sebelum tengah malam, ia bukan meteor Eta Aquarid," katanya.

Menurutnya, cahaya berkilau itu bukan sahaja diperhatikan di langit Yogjakarta malah beberapa laporan mengatakan ada penduduk yang melihat di wilayah timur dan utara Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY).

"Daripada laporan itu, ia turut dipantau di kawasan Yogja, Solo Raya, Magelang, dan Semarang.

"Kilat ini dirakam tanpa titik pancang. Ini adalah ciri pembelahan atau pemecahan apabila memasuki atmosfera bumi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 3:21 PM