HUJAN meteor dalah fenomena astronomi yang biasa. FOTO Reuters
HUJAN meteor dalah fenomena astronomi yang biasa. FOTO Reuters
Redzuan Muharam

QUADRANTIDS atau dikenali sebagai hujan meteor adalah fenomena astronomi yang biasa dan tidak membahayakan manusia.

Planetarium Negara menerusi satu kenyataan kepada Harian Metro memaklumkan fenomena itu biasanya aktif pada akhir Disember hingga minggu kedua bulan Januari serta mencapai kemuncaknya pada 4 dan 5 Januari lalu.

“ Semasa kemuncak kita berpeluang melihat 120 meteor atau tahi bintang kelihatan menuju keluar daripada pusatnya di kawasan kumpulan bintang Quadrans Muralis atau Bootes dalam masa satu jam.

“ 120 meteor sejam bersamaan dengan dua meteor seminit atau satu meteor dalam masa 30 saat.

“ 30 saat adalah suatu jangka masa yang cukup lama jika kita berada di hadapan lampu isyarat di jalan raya,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, Planetarium Negara menjelaskan hujan meteor merujuk kepada banyak “tahi bintang” akan kelihatan jatuh dari langit dari suatu titik atau suatu pusat tertentu di langit.

“ Hujan meteor Quadrantids berpusat di kumpulan bintang Quadrans Muralis oleh itu ia dinamakan sebagai “Quadrantids.”

“ Quadrans Muralis kini sudah tidak lagi tersenarai di bawah kumpulan bintang yang rasmi seperti disenaraikan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU).

“Bagaimanapun, nama Quadrantids masih dikekalkan. Oleh yang demikian Quadrantids kadangkala dipanggil juga dengan nama “Bootids” bersempena dengan nama kumpulan bintang rasmi Bootes yang pada masa kini berdekatan dengannya,” katanya.

Sabtu lalu, tular di laman sosial mengenai rakaman video berdurasi 16 saat yang menunjukkan cahaya didakwa hujan meteor di Sekinchan, Selangor.

Video dimuat naik di laman Twitter sebuah portal itu mendapat perhatian warganet namun kesahihannya masih belum dapat dipastikan sehingga kini kerana tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 9:56 PM