ORANG ramai menyaksikan pancuran meteor geminids di Balai Cerap Baitul Hilal Port Dickson.
ORANG ramai menyaksikan pancuran meteor geminids di Balai Cerap Baitul Hilal Port Dickson.
Khairul Najib Asarulah Khan


Port Dickson: Kira-kira 300 peminat astronomi berkumpul di Balai Cerap Baitul Hilal Port Dickson, bagi menyaksikan fenomena pancuran meteor geminids, kelmarin.

Penolong Pengurus Balai Cerap Teluk Kemang Muzamir Mazlan berkata, orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan kejadian alam itu bermula jam 11.30 malam.

Katanya, fenomena itu berlaku sekitar Disember setiap tahun dan dapat dilihat dengan mata kasar.

“Lokasi di sini menjadi tumpuan kerana memiliki banyak kemudahan. Ia membolehkan mereka menyaksikan pancuran meteor sebaik saja bulan terbenam.

“Bagi memudahkan mereka melihat dengan jelas, beberapa lampu jalan di sekitar balai cerap ditutup,” katanya.

Program berkenaan mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Hotel Lexis Hibiscus.

Menurutnya, fenomena itu berlaku apabila buruj Gemini di langit utara merempuh banyak debu di angkasa lepas di laluan asteroid 3200 Phaethon.

“Dalam fenomena itu, dua meteor muncul di langit setiap seminit menjadikan 120 meteor dapat dilihat selama sejam. Hujan meteor mudah dilihat kerana cahaya bulan kurang namun bergantung juga pada pergerakan awan,” katanya.

Pengunjung, Nur Ain Shuahda Ainoor, 17, berkata, dia datang bersama keluarganya dari Nilai selepas mengetahui mengenai fenomena itu.

“Alhamdulillah, saya berpeluang menyaksikan fenomena itu yang menunjukkan kekuasan Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 8:23 AM