PASUKAN penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian. FOTO Agensi
PASUKAN penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian. FOTO Agensi
AFP

Jakarta: Seramai 11 nelayan Indonesia terselamat, manakala 22 lagi dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik sebelum karam di perairan Kepulauan Selayar di Sulawesi Selatan, Sabtu lalu.

Ketika kejadian, bot itu membawa 35 anak kapal. Mangsa yang terselamat itu ditemukan terdampar di dua terumbu karang berasingan selepas beberapa hari mereka terapung di laut.

Menurut agensi mencari dan menyelamat Indonesia, mangsa hanya berpaut pada bot yang terbalik selama tiga hari.

Difahamkan, bot mereka terbalik ketika cuaca buruk sewaktu musim hujan di Indonesia.

Bot nelayan itu berlepas dari pelabuhan di Jakarta Utara pada 3 Mac untuk ke Pulau Lombok di Nusa Tenggara Barat.

Tentera laut serta sukarelawan penyelamat membantu dalam usaha mencari dan menyelamat berkenaan.

Memetik laporan agensi berita Antara, mangsa yang terselamat ditemukan selepas nelayan tempatan melihat mereka sebelum memaklumkan penemuan berkenaan kepada pihak berkuasa.

Seorang pegawai yang menyertai operasi pencarian itu, Andi Raswan berkata, mangsa yang terselamat itu bertahan selama tiga hari di laut dengan memakai jaket keselamatan dan mengikat diri mereka pada bot.

"Mereka hanyut bersama bot ke Pulau Selayar. Bot itu terbalik, bawah bot berada di bahagian atas.

"Kapal seberat 93 tan kasar itu membawa peralatan menangkap ikan seperti bubu ikan, jala, batu, tali, daun kelapa dan pancing," katanya.

Kemalangan di perairan laut adalah perkara lazim di Indonesia, sebuah kepulauan Asia Tenggara dengan sekitar 17,000 pulau, disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar.

Pada 2018, lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam di dunia di Sumatera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 10:22 AM